KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan kerajaan negeri Sarawak telah mencadangkan peruntukan sejumlah RM81.7 juta untuk membina semula, membaikpulih dan menaik taraf sekolah-sekolah daif di Sarawak termasuk menyediakan kemudahan bekalan air dan elektrik.

Menurutnya, Sarawak perlu melangkah ke arah memudahkan pembangunan sekolah-sekolah di Sarawak dengan menggunakan dana Negeri dan akan terus melakukannya tahun depan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian semasa membentangkan Bajet 2019 Sarawak di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-18 Mesyuarat Kedua bagi Penggal Ketiga hari ini.

Jelasnya, Kerajaan Persekutuan sebelum ini melalui Bajet 2018 telah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM1.0 bilion untuk pembaikan dan menaik taraf sekolah-sekolah daif yang telah dikenalpasti di seluruh Sarawak.

Tambah Ketua Menteri, kerajaan Sarawak memerlukan lebih daripada RM1.0 bilion untuk membaiki, menggantikan dan membina semula semua sekolah daif Sarawak tetapi malangnya Bajet Persekutuan 2019 tidak menunjukkan sebarang peruntukan untuk tujuan berkenaan.