SIBU: Jangan salah guna tanggungjawab yang diamanahkan, itu pesanan tegas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada semua calon yang bertanding dalam pemilihan parti itu yang sedang rancak berlangsung.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan, tanggungjawab tersebut perlu digalas sebaik mungkin, bagi memastikan objektif parti sejak penubuhannya diteruskan.

“Siapa sangka PKR akan berada pada tahap ini. Jangan sia-siakan kepercayaan dan sokongan ahli kita setelah anda menang,” katanya pada Majlis Makan Malam Bersama Rakyat, di sini.

Pemilihan PKR di Sarawak berlangsung pada Sabtu dan dua puak yang bersaing rapat ialah puak yang memihak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Berhubung pembangunan di Sarawak, Timbalan Perdana Menteri memberi jaminan ia akan diteruskan walaupun ditadbir parti yang bukan daripada Pakatan Harapan.

Foto: Page PKR Ranting Dun Nangka

“Sarawak memiliki tanah dan sumber bumi yang banyak dan ia seharusnya digunakan untuk menyuntik pembangunan yang lebih baik.

“Kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, elektrik dan air bersih perlu ditambah baik untuk pembangunan,” tambahnya lagi.

Wan Azizah dalam lawatan sehari ke Sarawak, dan berada di Julau, dalam rangka kempen pemilihan tersebut.

Beliau ditemani calon Majlis Tertinggi PKR yang juga Ahli Parlimen Julau, Larry Sng.

Untuk rekod, Larry memihak kepada Rafizi manakala kebanyakan kelompok penyandang dalam PKR Sarawak cenderung kepada Azmin.

Azmin akan berada di Sarawak esok, dan antara jadualnya termasuklah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. –Sarawakvoice