LOMBOK: Destinasi tumpuan ramai, Gili Trawangan, yang terletak di Lombok Utara ‘sepi’ dengan bilangan pelancong berkurangan selepas gempa bumi melanda kepulauan berkenaan tiga bulan lepas.

Kawasan pelancongan yang sebelum ini meriah dengan kehadiran pengunjung tempatan dan luar negara itu kelihatan sunyi dan hanya dipenuhi penduduk tempatan di tepi pantai dan gerai yang menanti kehadiran pelancong.

Bagi pengusaha bot laju, Laluh Juliado (he), 28, perniagaan dan pendapatannya berkurangan akibat kemerosotan jumlah pengunjung susulan bencana alam.

“Bukan tidak ada orang datang… masih ada tetapi tidak semeriah seperti sebelumnya.

“Kadang-kadang saya dapat pelancong, ada hari langsung tidak ada. Kebiasaannya sehari saya boleh buat dua atau tiga kali trip tetapi selepas musibah ini agak perit sekali,” katanya kepada Bernama yang mengikuti misi bantuan #peduligempalombok6.0 anjuran Global Peace Mission (GPM) Malaysia di sini.

Gambar fail

Beliau yang sudah menjalankan perniagaan berkenaan lebih 10 tahun berharap pengunjung akan membanjiri semula pulau berkenaan pada musim cuti sekolah nanti.

Seorang peniaga Nindi, 42, berkata mata pencariannya terjejas susulan kekurangan pelancong yang kemungkinan takut akibat gempa bumi yang meragut ratusan nyawa itu.

“Kami sendiri masih berasa trauma, kemungkinan orang lain juga seperti itu (trauma) untuk datang dan bercuti ke sini, namun dengan berniaga di sini sahaja saya dapat mencari rezeki dan kami harus cekal.

“Keadaan pengunjung memang sangat berbeza daripada sebelum dan selepas gempa, selalunya pada waktu ini pengunjung sudah ramai sehingga bulan Januari,” kata wanita yang berniaga sayur-sayuran di pasar Gili Trawangan itu.

Tempat tumpuan orang ramai itu hanya mengalami kira-kira 10 peratus kerosakan susulan bencana alam itu.–

Sementara itu, Ketua Misi GPM Ahmad Hamizan Ahmad Horman berkata selepas meninjau pulau berkenaan, beliau mendapati banyak kerosakan terutama di kedai-kedai dan pihaknya sedia menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan.

Katanya, sebagai sukarelawan pihaknya sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada mana-mana pihak yang memerlukan.

Lombok kini dalam fasa baik pulih, selepas digegarkan dengan gempa berukuran 6.4 magnitud pada 29 Julai, disusuli gegaran kedua pada 5 Ogos, berukuran 7 magnitud.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang ingin menyalurkan bantuan boleh membuat sumbangan dalam talian www.billplz.com/peduligempalombok atau deposit kepada akaun GLOBAL PEACE MISSION, Maybank (5642 2161 1602) atau Bank Islam (1402 3010 02922 4).–BERNAMA