Di Sarawak, kebanyakan kawasan Parlimen terletak di luar bandar. Majoriti kaum yang tinggal di luar bandar ialah kaum Dayak dan lebih spesifik adalah kaum Iban.
Dalam era baharu politik Malaysia yang kini diterajui Pakatan Harapan, amat besar harapan komuniti di luar bandar seperti di Sarawak agar nasib mereka terus terbela.

Majoriti komuniti di luar bandar ini merupakan golongan petani yang mengusahakan tanaman komoditi seperti lada hitam, kelapa sawit, getah dan sebagainya demi meneruskan kelangsungan hidup.

Demi kelestarian kehidupan penduduk di luar bandar yang kini dihimpit dengan kejatuhan harga tanaman komoditi seperti lada hitam, kelapa sawit dan getah, kerajaan PH perlu memikirkan mekanisme yang padu untuk membantu golongan pengusaha tanaman ini keluar daripada kepompong kejatuhan harga ini.

Bantulah golongan ini dengan mencari jalan agar harga tanaman komoditi ini dapat diterima serta mempunyai nilai kepada para pengusaha di luar bandar.

Pembentangan belanjawan harus mengambilkira perkara ini demi kelestarian kehidupan para pengusaha tanaman komoditi ini yang berada di luar bandar.

Realitinya, komuniti Dayak yang tinggal di luar bandar merupakan golongan petani yang mengusahakan tanah Adat atau NCR yang menjadi sumber utama ekonomi penduduk di luar bandar.

Ramai antara penduduk di luar bandar terutama kaum Iban tidak bersetuju dengan mekanisma ‘joint venture’ dengan syarikat-syarikat besar untuk mengusahakan tanah mereka seperti apa yang berlaku sekarang.

Hal ini kerana pulangan serta hasil yang mereka terima tidak berbaloi dan hanya memberi keuntungan kepada syarikat-syarikat besar tersebut.

Oleh itu, dengan kerajaan PH ini, rakyat luar bandar memerlukan mekanisma yang sesuai serta boleh diterima untuk membangunkan tanah NCR mereka.
Satu kaedah baharu perlu diutarakan oleh kerajaan untuk membantu penduduk di luar bandar membangunkan tanah NCR mereka.

Namun, perkara berkaitan tanah ini merupakan ‘prerogatif’ kerajaan negeri yang perlu berani mengiktiraf tanah NCR penduduk di luar bandar dengan mengeluarkan surat hak milik tanah.
Kerajaan negeri Sarawak kini harus mengutamakan rakyat di luar bandar yang selama ini kurang diberi perhatian.

Bantu rakyat yang selama ini menyokong serta memilih anda menjadi wakil mereka. Jangan hanya berjanji kosong demi meraih undi semasa pilihan raya sahaja.

Justeru, merungkai kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke -11 baru-baru ini, yang merupakan rujukan serta panduan kerajaan baharu dalam mentadbir Malaysia harus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi rakyat. Benda yang baik jangan dipolitikkan.

Tonggak III Menuju Ke Arah Pembangunan Wilayah Seimbang; Bidang Keutamaan C: Mempercepat Pembangunan di Sabah dan Sarawak. Strategi pelaksanaan menerusi Strategi C5 iaitu meningkatkan pembangunan tanah adat.

Strategi ini amat signifikan kepada penduduk di luar bandar yang mempunyai tanah adat untuk dibangunkan.

Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah memberi atau menyediakan peruntukan khas kepada semua kawasan parlimen terutama di luar bandar seperti di Sarawak untuk mencapai objektif murni kerajaan ini.

Alternatif tanaman kepada tanaman komoditi sedia ada sekarang harus diperkenalkan seperti durian musang king, laici, cili, nanas dan sebagainya.

Tanaman ini atau hasil pertanian seperti ini harus diperkenalkan kepada rakyat di luar bandar demi meningkatkan lagi pendapatan mereka.

Peruntukan yang diberikan kepada setiap parlimen harus terus sampai kepada rakyat untuk membangunkan terus tanah adat mereka tanpa melalui ‘joint venture’ dengan syarikat-syarikat seperti amalan sekarang. Tuntasnya, tanah adat mereka merupakan hak mereka.

Justeru, bagi Tonggak VI iaitu Memperkukuh Pertumbuhan Ekonomi melalui Bidang C iaitu Menyediakan Infrastruktur Berkualiti.

Pelaksanaan melalui strategi C2 iaitu memperkukuh logistik dan fasilitasi perdagangan. Ini amat sesuai untuk membantu penduduk di luar bandar terutama bagi mereka yang terlibat dengan aktiviti perdagangan.

Kerajaan harus menyediakan peruntukan untuk membina atau memperbesarkan tempat berniaga seperti pasar atau tamu di setiap kawasan Parlimen terutama di luar bandar.
Ini kerana dengan pertambahan penduduk serta para peniaga yang ingin memasarkan produk mereka seperti kraftangan, sayur-sayuran serta buah-buahan dan sebagainya amat memerlukan fasilitasi seperti ini.

Secara tidak langsung dengan menyediakan kemudahan seperti ini, para peniaga di luar bandar mempunyai kemudahan yang selesa untuk melakukan aktiviti perniagaan mereka.

Kerajaan harus memperkasa ekonomi penduduk di luar bandar terutama di Sarawak agar tidak jauh ketinggalan dalam era kerajaan PH sekarang.

Apa yang penting sekarang, kerajaan PH dan kerajaan negeri Sarawak harus mempunyai iltizam politik yang tinggi untuk melaksanakan pembangunan dikawasan luar bandar. –Sarawakvoice

Penulis merupakan penganalisis politik yang fokus kepada politik kaum Iban di luar bandar serta pensyarah dalam bidang politik di UNIMAS.