DAP salah satu parti yang membentuk Pakatan Harapan (PH) yang berkuasa dalam Kerajaan Persekutuan selalu mempunyai “suara besar” berkaitan politik Sarawak.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan Dap Anthony Loke berkata, tidak mustahil PH dapat mengawal Sarawak pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) yang berlangsung 2021 akan datang.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan merasmikan Konvensyen ke-18 Dap Sarawak di Crown Square Loke, menyifatkan kejayaan empat parti PH mengalahkan Barisan Nasional (BN) dan mengambil alih Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei lepas, memberi perhatian kepada mereka.

Dan ketika banyak janji pada manifesto PRU14 tidak tertunai khususnya menyentuh berkaitan Sarawak, pemimpin Dap masih berharap mereka akan membuktikan kepada pengundi Sarawak untuk menjadi kerajaan yang lebih baik.

Terdahulu, Pengerusi Dap Sarawak Chong Chieng Jen sempat menuduh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menggunakan taktik demi mengekalkan kuasa.

Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, mendakwa GPS membelanjakan dana negeri dan turut membelanjakan peruntukan sekitar RM10 bilion untuk terus memenangi hati pengundi selain memainkan sentimen setempat.

Dalam pada itu beberapa media melaporkan berkaitan Bajet 2019 yang dibentang oleh Menteri Kewangan, Chong dan rakannya dari PKR, Menteri Kerja Raya Baru Bian enggan mengulas lanjut berkaitan peruntukan “kecil” yang dikatakan diberikan kepada Sarawak dalam bajet tersebut berjumlah RM4.346 bilion.

Mereka berdua mengaku tidak mempunyai butiran terperinci peruntukan tersebut dan belum dapat mengulas lanjut berkaitannya.

Bagaimanapun, pada masa sama Jawatankuasa Pemandu PH Sarawak dan Sabah termasuk jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan mahu mengkaji serta membincangkan peruntukan pembangunan diberikan kepada kedua-dua negeri.

Chong berkata Belanjawan 2019 itu tidak memenuhi tuntutan 30 peratus seperti dijanjikan dalam manifesto PH pada PRU14 lalu.

Ketika enggan mengulas peruntukan “kecil” itu Chong sempat mengaku mereka berjanji mendapatkan 30 peratus peruntukan.

“Angka yang diperoleh dalam bajet kurang 20 peratus,” ujar Chong pada pada sidang media tersebut dan menganggap ia sebagai kelemahan Belanjawan 2019.

Bagaimanapun, seperti biasa Chong turut menggunakan alasan kekangan kewangan dihadapi negara menyebabkan peruntukan dijanjikan itu tidak dapat dipenuhi. –Sarawakvoice