BETONG: Lelaki yang hilang dalam tragedi bot karam di Batang Saribas di sini semalam ditemui lemas berdekatan feri Pusa di sini hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, mangsa ditemui sekitar jam 10.50 pagi tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang menyusuri sungai tersebut.

“Terdahulu, pasukan tersebut telah melaksanakan pencarian di permukaan sungai, dari hulu ke hilir Batang Saribas pada radius 1 kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).

“Mayat Mohd. Saufi Sabeni, 27 tahun kemudian terus dibawa ke PKB untuk pengesahan manakala operasi SAR ditamatkan serta-merta pada jam 11.30 pagi.

Balai Bomba dan Penyelamat Betong menggerakkan sebuah pacuan empat roda Hilux dan sebuah van Urvan selain sebuah bot penyelamat dengan kekuatan tujuh anggota untuk operasi ini.

Turut terlibat, 12 anggota polis dengan dua buah bot, lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam dengan sebuah bot dan 20 penduduk kampung dan lima buah bot.

Dalam kejadian tengah malam kelmarin, bot yang dinaiki lelaki dari Kampung Pusa dan enam yang lain itu karam di tengah-tengah Batang Saribas.

Mangsa bersama-sama rakannya menaiki bot pukat hanyut itu yang turut memuatkan dua motosikal menyeberang Batang Saribas ekoran feri Pusa-Beladin tidak lagi beroperasi ketika itu.

Masing-masing individu yang terlibat berjaya berenang ke tebing untuk menyelamatkan diri namun tidak bagi mangsa. –Sarawakvoice