PRESIDEN Parti Pekerja Sarawak Munan Laja kecewa dengan Bajet 2019 yang dibentang oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada petang jumaat lepas — menyifatkannya sebagai “tidak pedulikan masyarakat Dayak”.

“SWP amat kecewa kerana masyarakat Dayak tidak dipedulikan,” katanya kepada media pada Sabtu.

Munan anggap Bajet 2019 abaikan Dayak

Bajet keseluruhan RM341 bilion tetapi hanya 1.2 peratus untuk Sarawak dan dilihat tidak membawa manfaat kepada masyarakat Dayak melalui program transformasi luar bandar.

Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru Cobbold John Lusoi pula berkata tiada kenaikan dalam peruntukan untuk membantu Sarawak mengejar pembangunan Semenanjung.

Cobbold dalam kenyataannya seperti dilaporkan Dayak Daily berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus memperuntukkan sekitar RM10 bilion bagi setiap Sarawak dan Sabah untuk projek prasarana asas sahaja sebaliknya hanya menerima separuh daripada itu.

Cobbold: Dana perlu ada bantu Dayak sertai transformasi luar bandar, kejar pendidikan tinggi

Menurut Cobbold peruntukan dana besar mesti diperuntukkan bagi membantu penyertaan Dayak dalam transformasi luar bandar dan mengejar pendidikan tinggi termasuk kemahiran teknikal.

“Kerajaan Pakatan harus memperuntukkan geran untuk NGO berasaskan Dayak atau persatuan sivil di Sarawak untuk memperkasa program kemasyarakatan.

“Ini selain menyokong perkembangan usahawan dan PKS Dayak,” ujar Cobbold memetik portal tersebut.

Cobbold turut membangkitkan isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang masih menjadi isu utama di Sarawak.

Alexander Nanta Linggi kecewa Bajet 2019 abai kebajikan Dayak luar bandar

Sementara, Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi turut kecewa dengan Bajet 2019 yang tidak menyebut peruntukan untuk kebajikan masyarakat Dayak luar bandar.

Memetik Dayak Daily, Alexander berkata peruntukan RM4.4 bilion untuk pembangunan Sarawak tidak mempunyai spesifikasi dan mungkin tidak mencukupi bagi kebanyakan projek pembangunan luar bandar di negeri ini, terutama melibatkan penduduk peribumi yang tinggal di rumah panjang dan kampung pedalaman.

Alexander berkata, beliau tidak nampak dalam Bajet 2019 peruntukan untuk pembaikan atau menaik taraf rumah panjang untuk masyarakat Dayak seperti terdapat dalam bajet sebelum ini.

Menurutnya, ini termasuk peruntukan untuk menaik taraf kerja kayu atau jalan pembalakan yang amat diperlukan untuk penduduk rumah panjang di luar bandar bagi kemudahan jalan raya.

Memetik Utusan Borneo pula, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata beliau perlu membaca terperinci belanjawan dibentangkan kerana beliau tidak mendengar sebarang perkara berkaitan peribumi Sarawak atau khusus untuk para petaninya.

Bajet tidak sebut peruntukan sukat tanah, tiada subsidi getah, lada — Uggah

“Tiada yang berkaitan dengan penyukatan tanah, kita juga tidak tahu dan mereka tidak menyebut apa-apa berkaitan dengan subsidi getah, lada,” kata Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah memetik laporan akhbar tempatan itu.

Uggah melahirkan rasa kecewa dengan peruntukan umum kepada Sarawak itu, selain tiada program jelas atau subsidi untuk tanaman lain seperti getah, lada, kelapa sawit dan sebagainya. –Sarawakvoice