KUALA LUMPUR: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyambut baik dan menghargai segala peruntukan bagi pasukan itu dalam Bajet 2019.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Fuzi Harun berkata, lebih 130 ribu warganya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana memperoleh manfaat daripada ketiga-tiga fokus utama bajet yang bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera.’

“Di bawah fokus pertama iaitu ‘melaksanakan reformasi institusi’, PDRM mendapat manfaat melalui pelaksanaan 24 projek kerjasama awam swasta (PPP) berasaskan tender terbuka seperti sekolah, kem tentera, balai polis dan bomba serta rumah mampu milik yang keseluruhannya bernilai RM5.2 bilion.

Dalam fokus kedua iaitu ‘memastikan kesejahteraan rakyat’, PDRM juga menikmati manfaat seperti pemberian bantuan sebanyak RM500 secara one-off kepada pesara yang berkelayakan.

“Begitu juga kemudahan cuti tanpa rekod selama tujuh hari untuk penjawat awam yang bukan beragama Islam bagi tujuan keagamaan dan pelepasan cukai hingga RM7,000 untuk penjawat awam yang memilih skim pencen bagi menggalakkan pemilikan perlindungan insurans,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, polis turut berterima kasih atas peruntukan sebanyak RM5.9 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri bagi mempertingkat keselamatan dalam negeri dan pertahanan negara

“Begitu juga peruntukan sebanyak RM1.5 bilion untuk membina dan menyiapkan rumah mampu milik bagi program perumahan rakyat, perumahan penjawat awam Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Nasional Berhad, demi memastikan bekalan rumah mencukupi.

Pelanjutan tempoh pembiayaan perumahan sektor awam, di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) di mana pembiayaan pertama dilanjutkan daripada 30 tahun kepada 35 tahun dan tempoh pembiayaan kedua daripada 25 tahun kepada 30 tahun juga memberi manfaat kepada pasukan pengaman itu.

“Peruntukan RM400 juta untuk penyelenggaraan dan membaik pulih kuarters kerajaan dalam memastikan kesejahteraan penjawat awam terutamanya polis , tentera dan guru,” juga berita yang cukup indah.

Katanya, PDRM juga berterima kasih kepada kerajaan atas pengumuman peruntukan pembangunan sebanyak RM7.1 bilion bagi sektor keselamatan serta bayaran khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam, gred 54 dan ke bawah serta RM250 kepada pesara kerajaan sebelum penghujung tahun 2018

“Dengan keadaan di mana kerajaan menyarankan perbelanjaan berhemah, PDRM akan mengoptimumkan penggunan segala peruntukan yang diberikan agar kualiti penyampaian kepada masyarakat tidak terjejas,” tambahnya lagi. –Sarawakvoice