KUCHING: Tiga laporan polis diterima berhubung aktiviti Macau Scam di Sarawak semalam namun kesemua mereka berjaya mengelak daripada ditipu.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mustafa Kamal Gani berkata, mangsa pertama adalah seorang guru tuisyen di Miri.

“Pada Rabu mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memberitahu beliau mempunyai tunggakan kad kredit Hong Leong Bank sebanyak RM30,000, tetapi mangsa mengatakan tidak pernah memohon kad kredit dari Hong Leong Bank.

“Selepas itu talian telefon disambungkan kepada seorang lelaki, kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Melaka dan memberitahu mangsa juga mempunyai satu akaun di Maybank untuk tujuan cuci duit dan aktiviti jenayah.

Talian kemudian disambungkan kepada seorang lagi lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis berpangkat Inspektor, juga dari IPK Melaka, yang meminta mangsa membayar wang sebagai jaminan sebanyak RM3,000.

“Mangsa terus menutup perbualan telefon dengan lelaki tersebut kerana berasa curiga.

Juga di Miri, seorang warga emas suri rumah yang berusia 65 tahun telah dihubungi seorang lelaki kononnya dari polis Trafik Johor Baharu, yang memberitahu mangsa ada saman trafik dan meminta beliau memberikan butir peribadi yang betul seperti nama penuh dan nombor kad pengenalan kepadanya.

“Anak mangsa bertindak bijak apabila menghubungi Balai Polis Johor Baharu untuk menanyakan kaitan nama anggota bernama Koperal Wong Lai Soon dan dimaklumkan bahawa tiada nama anggota bernama tersebut bertugas di sana.

Mangsa kemudian diarahkan membuat laporan polis kerana ini merupakan satu penipuan.

“Lelaki itu kemudian berkali-kali menghubungi mangsa semula tetapi beliau tidak mengangkat telefon kerana takut.

Kes ketiga kata Mustafa, berlaku di Sibu, melibatkan seorang wanita berusia 39 tahun yang bertugas sebagai Pengurus Syarikat.

Mangsa telah menerima panggilan telefon, kononnya daripada pihak Mahkamah Melaka yang meminta nombor kad pengenalan mangsa bagi memeriksa kes, dan mangsa telah memberikan nombor kad pengenalannya.

“Suspek memaklumkan bahawa mangsa mempunyai tunggakan bayaran kad kredit berjumlah RM28,795.75 dan meminta mangsa pergi ke Mahkamah Melaka untuk menyelesaikan kes tersebut.

“Gagal berbuat demikian kononnya akan menyebabkan semua akaun mangsa dibekukan.

Mangsa memberitahu suspek tidak boleh pergi ke Melaka kerana dia berada di Sibu dan menafikan pernah memohon sebarang kad kredit melalui Maybank.

“Apabila mangsa mengugut untuk membuat laporan polis di balai polis berdekatan, lelaki itu terus menamatkan panggilan,” katanya lagi. –Sarawakvoice