Monday, August 15, 2022

Sarawak-Kalimantan perkukuh kerjasama perniagaan, rintis lebih banyak ruang dan peluang — Abang Johari

Secara Rawak

JAKARTA: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yakin dengan usaha berterusan dan tersusun untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi negeri ini, lebih banyak peluang perdagangan akan dapat diterokai dan dibangunkan di antara Indonesia dan Sarawak.

Katanya, masih banyak potensi kerjasama yang tidak diterokai di antara Kalimantan dan Sarawak yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua wilayah.

“Ketika ini jumlah dagang di antara Sarawak dan Indonesia semakin mengukuh, namun ia perlu ditingkatkan untuk manfaat ekonomi kedua-dua wilayah,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian di antara entiti perdagangan Sarawak dan Indonesia sempena Pameran Perdagangan Antarabangsa Indonesia ke-33 di Pusat Pameran Persidangan Indonesia, Tangerang semalam.

Terdahulu, Abang Johari dan anggota delegasinya sempat menghadiri pembukaan rasmi pameran oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Statistik perdagangan menunjukkan nilai dagang di antara Sarawak dan Indonesia meningkat daripada RM1.8 bilion (USD0.43 bilion) pada 2016 kepada RM2.1 bilion (USD0.51 bilion) pada 2017 dan sehingga Mei tahun ini, mencatat RM1.3 bilion (USD 0.31).

“Sekiranya trend menaik berterusan pada baki tahun 2018, saya yakin nilai itu akan melepasi pencapaian pada tahun 2017,” katanya lagi.

Tiga dokumen perjanjian tersebut melibatkan Danawa Sdn. Bhd. dari Sarawak dan PT.THC Indonesia yang menandatangani kerjasama untuk melaksanakan infrastruktur optik serat melalui lintasan sempadan Tebedu-Entekong dan Badau-Lubok Antu.

Ini akan menyediakan sambungan internet dan multimedia berhalaju tinggi di antara Indonesia dan Sarawak.

Kedua-dua pihak kini bekerjasama melakukan sambungan yang sama melalui lintasan sempadan Biawak-Aruk dan dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.

Perjanjian kedua dimeterai di antara Brooke Dockyard dan PT. Bahasa Wijaya Persero TBK dari Indonesia untuk meneroka peluang dalam pembangunan infrastruktur.

Perjanjian ketiga ditandatangani di antara Dewan Perniagaan dan Industri Indonesia dengan Persekutuan Perniagaan Sarawak untuk memperkukuh kerjasama perniagaan di antara Sarawak dan Indonesia.

Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Muda Industri dan Pelaburan, Datuk Malcom Mussen Lamoh dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Abu Bakar Marzuki merupakan antara yang hadir. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru