Monday, June 27, 2022

Manfaatkan suasana kondusif untuk bangunkan tradisi keilmuan di Nusantara – Abang Johari

Secara Rawak

KUCHING: Umat Islam di Nusantara perlu merebut peluang sebagai rantau yang kondusif bagi membangunkan tradisi Umran atau keilmuan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, peluang ini wujud kerana rantau ini telah lama bebas dari kolonialisme penjajahan Barat.

“Lebih menarik, rantau ini tenang dan tidak diselaputi pergolakan politik berterusan seperti yang berlaku di Timur Tengah dan Dunia Arab.

“Oleh yang demikian, bagi memenuhi hasrat dan aspirasi tersebut, para ilmuan dan ulama dari Nusantara perlu ke depan bagi mempelopori gagasan agenda besar untuk menjadikan rantau ini sebagai ‘The Region of Wisdom’,” katanya ketika merasmikan Nadwah Ulama Nusantara VII di Kompleks Islam Sarawak di sini malam tadi.

Katanya, tradisi pondok dan pesantren yang ada perlu digali dan dicari resepi terbaik untuk dihidupkan dengan acuan seimbang ilmu naqli dan aqli.

“Kejayaan Kerajaan Abbasiyyah membangunkan tradisi ilmu di Baitul Hikmah telah diikuti dan dijadikan suri teladan secara bijaksana oleh tamadun Barat.

“Maka pada hari ini kita melihat bagaimana peradaban Barat muncul sebagai rujukan kepada dunia keilmuan dan kesarjanaan.

“Tradisi Oxford, Harvard, Cambridge dan Yale umpamanya adalah satu manifestasi kejayaan Barat membangunkan tamadun mereka hasil usaha gigih mereka menuruti apa yang telah dilakukan oleh tamadun Islam pada masa lalu.

Oleh yang demikian, tegasnya, Nusantara perlu mengambil iktibar daripada apa yang telah berjaya dilakukan oleh Tamadun Barat.

“Kita selamanya tidak boleh berpeluk tubuh untuk merujuk kepada Barat.

“Tetapi kita perlu bermula untuk menggerakkan peradaban dan tamadun Nusantara supaya pada suatu hari nanti, kita pula yang akan dirujuk oleh dunia kesarjanaan dan kemanusiaan.

Beliau berharap Nadwah Ulama Nusantara ke-8 ini dapat mencetuskan idea dan gagasan terkini yang dapat disenergikan bagi memperkasa ummah secara keseluruhannya.

“Ummah di Nusantara perlu menguasai bidang-bidang utama yang signifikan seperti industri halal, kewangan Islam, waqaf, digitalisasi ummah, sains dan teknologi yang mampu melonjakkan masa depan Nusantara sebagai rantau keilmuan.

“Justeru, nadwah seperti ini perlu segera mengorak langkah ke hadapan untuk menjadi wadah dan forum utama di peringkat Nusantara bagi mencapai gagasan agenda ‘The region of wisdom’.

Nadwah yang berlangsung selama tiga hari ini dianjurkan bersama oleh Majlis Islam Sarawak dan Pusat Rantau Timur Tengah dan Nusantara, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru