Sejak dua menjak ini rasanya ramai yang sudah tahu berkenaan dengan isu Projek Jambatan Bengkok yang dibangkitkan semula oleh Menteri Besar Johor, Dato Osman Sapian. Asalnya Projek Jambatan Bengkok ini telahpun dibatalkan pada 14 Julai 2006 atas sebab-sebab tertentu.

Tetapi tiada angin tiada ribut tiba-tiba sahaja isu ini kecoh apabila Osman Sapian mengatakan Perdana Menteri, Tun Mahathir sendiri yang ingin menyambung kembali Projek Jambatan Bengkok. Sebaliknya lain pula yang jadi di pihak Tun Mahathir apabila beliau mengatakan sebenarnya ‘Johor’ yang ingin menyambung kembali Projek Jambatan Bengkok.

Kenyataan ini disokong dengan kenyataan akhbar Berita Harian yang bertarikh 18 Oktober 2018. Kenyataan Tun Mahathir kepada akhbar tersebut adalah mereka (kerajaan Johor) cakap mahu membina jambatan bengkok tetapi ada pihak lain pula kata tidak mahu jambatan bengkok. Cadangan ini datangnya daripada kerajaan negeri.

Di sini jelas dapat dilihat bahawa kenyataan Osman Sapian bercanggah dengan kenyataan Tun Mahathir. Jadi sekarang siapa sebenarnya yang betul? Dan siapa sebenarnya dimaksudkan oleh Tun Mahathir.

Saya yakin dan pasti individu yang dimaksudkan oleh Tun Mahathir sudah pasti bukan Sultan Johor mahupun Tunku Mahkota Johor. Hal ini kerana awal-awal lagi Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor sudah berpendirian tegas bahawa negeri Johor lebih memerlukan projek yang memberi keutamaan dan manfaat kepada rakyat seperti hospital berbanding jambatan bengkok. Sepatutnya Osman Sapian lebih peka bukan pekakkan sahaja telinga.

Jadi tidak salahlah jika yang dimaksudkan oleh Tun Mahathir itu sebenarnya adalah kerajaan negeri atau Menteri Besar Johor sendiri. Yang mendatangkan kemusykilan kenapa Menteri Besar Johor mensabitkan kepada orang lain sedang sudah jelas bahawa Osman Sapian sendiri yang terlebih dahulu membuka mulut berkenaan projek ini.

Persoalannya kini kenapa Osman Sapian lebih sudu dari kuah? Jika Tun Mahathir sendiri tidak merasakan Projek Jambatan Bengkok ini sebagai satu keperluan, jadi kenapa Osman Sapian yang sibuk mahu projek ini diteruskan pula? Ataupun ini adalah taktik Osman Sapian untuk membodek Tun Mahathir demi menjaga jawatan yang dipegangnya sekarang?

Lupa atau buat-buat lupa bahawa jawatan yang dipegang Osman Sapian sekarang ini bukannya Perdana Menteri yang beri tetapi mandat dari rakyat Johor. Sepatutnya Osman Sapian jaga rakyat bukan Perdana Menteri.

Seeloknya selepas ini, Osman Sapian jaga kebajikan dan keperluan rakyat Johor terlebih dahulu sebelum sibuk jaga tepi kain orang lain. Ini soal tanggungjawab yang diamanahkan, jadi mandat dan tanggungjawab yang diberikan perlu dipertanggungjawabkan dengan sebaiknya kepada rakyat bukannya sia-siakan begitu sahaja.

Malah untuk membuat sesuatu keputusan juga seeloknya sebagai Menteri Besar perlu berbincang dan mengambil kira pendapat rakyat terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi. Bukan kenyataan bengkang-bengkok seperti ini yang mengelirukan rakyat. Hal ini kerana pada akhirnya ia akan memberi kesan kepada rakyat negeri Johor sendiri.

Akhir sekali, saya berharap Osman Sapian dapat jelaskan perkara ini jika benar bukan pihaknya yang membangkitkan isu Projek Jambatan Bengkok ini.

Dhia Hani
Persatuan Pemikir Muda Johor