Monday, August 8, 2022

Kerajaan PH teruskan bantuan 70 peratus gaji ketua masyarakat di Sarawak, tetapi bersyarat

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu ketua-ketua masyarakat di Sarawak dilantik secara demokratik, dan bukan lagi secara lantikan politik, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Dengan demikian katanya, Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan membayar 70 peratus daripada elaun dan gaji mereka, seperti sebelum ini, manakala selebihnya daripada Kerajaan Negeri.

“Untuk tahun hadapan, Kerajaan Persekutuan PH telah bersetuju untuk meneruskan amalan ini walaupun Sarawak tidak berada di bawah Kerajaan Negeri PH.

“RM35 juta telah diperuntukkan untuk tujuan ini dan akan dibentangkan dalam Bajet yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kenyataan ini sebagai menjawab dakwaan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebelumnya bahawa Kerajaan Negeri tidak membenarkan semua ketua masyarakat menghadiri majlis yang dihadiri Menteri Persekutuan dan Ahli Parlimen pembangkang kerana Kerajaan Persekutuan menghentikan bantuan bayaran elaun dan gaji ketua masyarakat yang sebelum ini ditanggung bersama.

Pada masa yang sama, Uggah turut menyifatkan Kerajaan Persekutuan ‘memulakan dahulu’ tindakan ‘pulau-memulau’ ini selepas menyekat bantuan jabatan dan agensi pusat terhadap aktiviti yang dijalankan oleh pemimpin Kerajaan Negeri, iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS), selain tidak membenarkan pemimpin GPS melawat sekolah dan hospital.

Tegas Baru lagi, ketua masyarakat seperti Tuai Rumah yang tidak dipilih secara demokratik oleh penduduk rumah panjang, yang sebaliknya dilantik secara sepihak dan secara politik oleh ahli politik GPS, tidak akan dapat terima bahagian 70 peratus daripada peruntukan kerajaan Persekutuan PH.

“Saya mahu menjadikannya jelas. Penduduk rumah panjang boleh membuat pengisytiharan berkanun untuk melaporkan kepada kementerian jika Kerajaan GPS terus menggunakan dana Persekutuan untuk membayar Tuai Rumah yang dilantik secara politik,” katanya lagi. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru