Tuesday, December 6, 2022

RM11 bilion untuk infrastruktur rakyat dalam tempoh 2 tahun — Abang Jo

Secara Rawak

PULAU PINANG: Kerajaan Negeri Sarawak akan terus memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur rakyat dan sejumlah RM11 bilion diperuntukkan untuk tujuan itu.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan itu akan dibelanjakan untuk membina jalan, jambatan, membekalkan air terawat dan elektrik ke seluruh Sarawak.

“Kita menyasarkan untuk membina infrastruktur berkaitan jalan dan utiliti ini dalam tempoh dua tahun akan datang, katanya semalam semasa menutup rasmi Pemukiman Tahunan Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Sarawak di sebuah hotel terkenal di Batu Ferringhi, di sini.

Beliau mendedahkan, sejumlah RM2.8 bilion akan dibelanjakan untuk bekalan air, RM2.3 bilion untuk bekalan elektrik dan sekitar RM6 bilion untuk membina lebuh raya pesisir.

“Kami tidak pernah memperuntukkan sebegini banyak peruntukan untuk pembangunan infrastruktur dan kali ini adalah satu rekod baharu,” katanya sambil merakamkan terima kasih kepada 140 pegawai kanan kerajaan yang berkampung untuk mencari kaedah mempercepat pelaksanaan semua projek yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri.

Pada majlis yang sama, beliau mengulangi kenyataan yang telah diumumkan semasa Program Lan Berambeh Anak Sarawak 2018 di Kuala Lumpur pada Sabtu bahawa Kerajaan Negeri telah mempertimbang untuk menyediakan pemberian yang jumlahnya tidak didedahkan kepada setiap bayi yang lahir di Sarawak oleh ibu dan bapa dari negeri itu, sehingga kanak-kanak itu mencapai umur 18 tahun.

Semasa pemukiman, pegawai-pegawai telah dibahagikan kepada kelompok-kelompok dalam perbincangan dan membuat satu siri cadangan kepada Kerajaan Negeri dengan tujuan untuk memastikan penyampaian projek yang cepat dan meningkatkan perkhidmatan awam, termasuk bantuan kebajikan yang dibiayai oleh kerajaan.

Ketua Menteri berkata, beliau juga telah menemui satu cara untuk membawa lebih banyak pendapatan untuk Sarawak, yang akan digunakan untuk membiayai projek itu tanpa membelanjakan rizab negeri sedia ada.

“Tunggu ucapan Belanjawan saya pada 5 November,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga telah memutuskan untuk membiayai semua projek yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini, kerana kerajaan tidak lagi boleh bergantung kepada Putrajaya untuk membiayai projek rakyat.

Beliau malah menyatakan keyakinan bahawa peningkatan perbelanjaan awam ditambah dengan dasar yang konsisten, akan menampung ekonomi negeri dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Sarawak harus memanfaatkan peluang pembukaan baharu industri dari China yang dijangka berlaku memandangkan senario perang dagang antara China dan Amerika Syarikat.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Ghani; Menteri Utiliti, Datuk Sri Stephen Rundi Utom; Menteri Kesejahteraan Masyarakat Kesejahteraan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah dan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru