Tuesday, September 27, 2022

Ucustoms dilancar tahun depan – Kastam

Secara Rawak

ISKANDAR PUTERI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan melaksanakan sistem uCustoms bagi pelepasan kargo yang dijangka dilancarkan sepenuhnya tahun depan untuk mengekang ketirisan hasil yang berlaku kerana kelemahan sistem sedia ada.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T. Subromaniam berkata menerusi sistem itu, ia diharap dapat meningkatkan hasil untuk membantu menampung defisit belanjawan.

“Ada banyak sebab berlakunya ketirisan hasil, antaranya isu sistem sedia ada yang kurang baik kerana ia tidak dapat mengenali pengikraran dagangan khususnya yang berisiko tinggi dan disebabkan itu, kita buat sistem baharu.

“Sistem ini hampir siap dan apabila siap, ia akan membantu mengekang ketirisan hasil. Saya rasa, tentu hasil pungutan kastam terutamanya dari segi import dan eksport dijangka bertambah,” katanya pada majlis penyerahan dan perasmian bangunan Kawasan Pemeriksaan Kastam (CEA) di Kompleks Sultan Abu Bakar, di sini semalam.

Subromaniam berkata sistem itu dijangka dilaksanakan sebelum pertengahan tahun yang akan bermula di Pelabuhan Klang, Selangor, sebelum diperluaskan ke semua pintu masuk negara.

Khamis lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) berkata pertumbuhan logistik dan fasilitasi perdagangan akan dipertingkat melalui inisiatif uCustoms.

Ia akan menjadi gerbang tunggal yang menyediakan proses bersepadu dan lengkap bagi pelepasan kargo yang akan dilancarkan pada awal tahun 2019 sekali gus akan meningkatkan kecekapan dan produktiviti serta daya saing pemain logistik negara.

Dalam pada itu, beliau berkata projek penambahbaikan CEA di zon import dan eksport itu akan membantu melancarkan proses pelepasan kenderaan dagangan di komplek berkenaan.

“Sebelum ini proses pelepasan kerap tertangguh terutama bila hujan menyebabkan lori dan kontena terpaksa menunggu untuk pemeriksaan kerana tiada bumbung. Jadi sekarang penambaikan dilakukan, pemeriksaan dapat dilakukan bila-bila masa. Ia beri keselesaan pada pegawai sekali gus rancakkan proses pelepasan dagangan,” katanya.

Antara yang ditambah baik dan dinaik taraf termasuk memasang bumbung, membina stor simpanan, pelantar pemeriksaan serta laluan masuk dan keluar ke ruang menunggu yang melibatkan kos lebih RM4 juta.–BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru