KUALA LUMPUR: Sah, Sarawak akan ada stesen tv sendiri, dan akan bersiaran tidak lama lagi.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mendedahkannya di sini semalam, dengan memberitahu, studio untuk stesen tersebut sedang dibangunkan di bangunan milik Pelita, yang sebelum ini menempatkan panggung cineplex dan bekas pawagam Rex.

Sementara itu, sumber industri memberitahu, portal tv pertama di negeri ini, TV Sarawak pula akan dijenama semula pada Januari depan.

Difahamkan, ia akan turut beroperasi di lokasi yang sama.

Menurut sumber industri, pengoperasi skrin LED terbesar di Petra Jaya itu kini sedang giat merekrut tenaga kerja untuk penjenamaan semula tersebut.

“Mereka menggunakan khidmat pembaca berita veteran, Harjit Singh Hullon untuk melatih wajah-wajah baharu yang akan menghiasi portal tv itu kelak,” kata sumber itu lagi.

Bagaimanapun sumber itu tidak dapat mengesahkan sama ada portal itu akan dicantumkan peranannya dengan stesen telestrial pertama Sarawak ini.

Sebelum ini, pasukan pengendali stesen tersebut sudah menjalinkan kerjasama dengan sebuah stesen ternama di Singapura untuk melaksanakan program-program berkualiti tinggi.

Abang Johari mendedahkan demikian ketika sesi townhall Tanyak Abang Joe, salah satu pengisian dalam siri program Lan Berambeh Anak Sarawak di sini.

Perkara lain yang turut disentuh dalam sesi temu muka yang dihadiri lebih 2,000 rakyat Sarawak yang berada di bumi Semenanjung, Sarawak bakal memperkenalkan pemberian elaun kepada bayi baru lahir.

“Ia akan meliputi semua kaum dan dilaksanakan pada tahun depan, selepas dibentangkan untuk kelulusan pada Belanjawan Negeri, 5 November depan.

“Mekanisme pemberian elaun itu bagaimanapun sedang dikaji,, namun yang jelas, elaun tersebut akan disimpan dalam bentuk amanah, dan tidak boleh dikeluarkan sehingga 18 tahun kemudian ” tambahnya lagi.

Ketika ini, seramai 40,000 bayi baru lahir direkodkan di seluruh negeri Sarawak setiap tahun.

Menyentuh pembentangan belanjawan tersebut, Abang Johari yang juga memegang portfolio Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Negeri dijangka akan mengumumkan bajet besar, dengan pelbagai inisiatif baharu berkaitan fiskal negeri.

Ini akan membolehkan semua projek pembangunan negeri yang dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini, diteruskan semula. –Sarawakvoice