Monday, August 8, 2022

MA63: Sarawak mahu keahlian jawatankuasa yang adil, tidak berat sebelah — Abang Jo

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg malam tadi menegaskan penubuhan Jawatankuasa Khas oleh Kerajaan Persekutuan yang mengkaji Perjanjian Malaysia 1963 perlu mempunyai keahlian sama rata.

Menurutnya, ia harus sama jumlah keahlian, sama bilangan dan tidak berat sebelah.

“Kalau hendak menghuraikan Perjanjian Malaysia 1963 yang merupakan dokumen yang amat penting, ia hendaklah dibincangkan menerusi tiga kerajaan iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Sabah, dengan keanggotaan yang adil dan sama,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Lan Berambeh Anak Sararak 2018 di sini.

Majlis tersebut turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud serta 6,000 anak Sarawak yang menetap, bekerja dan belajar di segenap pelosok negeri di Semenanjung Malaysia.

Program ini merupakan acara tahunan anjuran ahli Parlimen Sarawak, dan kerana pertukaran kerajaan pada Mei lalu, ia kini ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Keahlian dalam rundingan tersebut kelak katanya, haruslah mirip Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang ditubuhkan bagi membincangkan penubuhan Malaysia.

Katanya lagi, pindaan perlembagaan tersebut juga bukan sahaja mengkaji Artikel 1 (2) Perlembagaan Persekutuan, malah perlu melibatkan Artikel 112 (D) yang memberi “peruntukan khas” kepada Sarawak dan Sabah.

“Kali terakhir ia disemak adalah pada 1969 dan sekarang kita juga mahu ia disemak mengikut nilai wang hari ini dan juga mengikut pembangunan yang ada.

“Insya-Allah, anak-anak Sarawak, kita akan teruskan usaha ini (mendesak semakan),” ujarnya.

Dalam ucapannya juga, Abang Jo mengulangi kenyataan bahawa hak mengeluarkan lesen minyak dan gas adalah milik Sarawak, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita tidak akan berkompromi (dalam hal ini). Walaupun kita dibawa ke mahkamah, alhamdulillah, mahkamah telah berpihak kepada kita …Sarawak, walaupun kita berhadapan dengan Petronas, ” tegasnya lagi.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong mengumumkan, jawatankuasa yang diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu dianggotai oleh Ketua Menteri Sarawak dan Sabah, serta Peguam Besar Negeri masing-masing, manakala ahli-ahli lain ialah lapan menteri persekutuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Ketua Setiausahas Negara dan pakar perlembagaan Universiti Malaya. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru