Tuesday, September 27, 2022

Jika ada cubaan untuk batalkan Projek Pan Borneo, saya akan lawan – Baru Bian

Secara Rawak

KUCHING: Menteri Kerja Raya, Baru Bian menafikan Projek Lebuh Raya Pan Borneo tidak diteruskan, seperti yang dikhuatiri Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, beliau sedar projek itu amat penting bagi rakyat Sarawak, apatah lagi ia merupakan satu-satunya projek lebuh raya di negeri itu, dan Sabah.

“Sejauh yang saya tahu, dan dalam pengetahuan Kementerian Kerja Raya, seperti yang saya ulangi sebelum ini, saya ingin melihat projek Lebuh Raya Pan Borneo ini siap dan diteruskan.

“Ia merupakan satu-satunya lebuh raya di Sarawak dan Sabah. Saya percaya jika seseorang cuba untuk memberhenti dan membatalnya, saya akan lawan, berkeras untuk teruskannya. Bagi saya ia adalah satu-satunya jalan di Sarawak dan ia perlu disiapkan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Akademi Binaan Malaysia di Jalan Sultan Tengah di sini.

Menurutnya, pihaknya amat terbuka sekiranya ada pihak tampil untuk membantu mengurangkan kos pembinaan projek itu yang pada asalnya bernilai RM16.49 bilion.

Ketika ini, projek itu berjaya dikurangkan sebanyak 4 peratus iaitu sebanyak RM660 juta.

Projek yang dimulakan pada 31 Mac 2015 ini dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2021, melibatkan jajaran sepanjang 1,060 kilometer dari Telok Melano di Sematan ke Merapok di Lawas, Sarawak.

Ketika ini katanya, keseluruhan projek berjalan lancar dengan ada kawasan yang mendahului jadual.

Keseluruhan projek telah berlangsung sebanyak 35 peratus hasil kerja keras kesemua 20 kontraktor yang dilantik untuk 11 pakej projek, termasuk 11 syarikat senaraian awam.

Selain laluan empat lorong yang berkualiti tinggi, projek ini turut melibatkan pembinaan 114 jambatan rentas sungai, 57 jejambat pejalan kaki, 17 laluan bertingkat dan 595 hentian rehat. –Sarawakvoice

Foto: Facebook

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru