Sunday, August 7, 2022

5 November, Abang Jo akan umum perancangan strategik untuk Sarawak muncul negeri maju pada 2030

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Misteri 5 November? Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam berulang kali mengatakan akan membuat pengumuman menggemparkan sewaktu pembentangan Bajet Negeri Sarawak untuk 2019.

Semua projek dan masa depan Sarawak bergantung kepada pembentangan tersebut.

“Saya akan menggunakan peruntukan perlembagaan untuk memperolehkan bilion untuk Sarawak,” katanya.

Banyak penganalisis politik dan ekonomi, percaya pengumuman oleh Abang Johari adalah lanjutan daripada pengenalan cukai terhadap pemain dalam industri minyak dan gas di negara ini.

Dalam sesi townhall Tanyak Abang Jo semalam, beliau malah berterus terang menyebut beberapa projek dan subisidi yang akan terus dinikmati oleh rakyat Sarawak, termasuk tambahan biasiswa dan pembinaan rumah Pertiwiku.

Foto: tvsarawak.com

“Segala pengumuman ini memerlukan bajet billion ringgit, termasuk meneruskan ratusan projek yang dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan baru-baru ini,” kata penganalisis politik, Dr Nadrawina Isnin.

Biarpun banyak tanggapan sinis yang mengatakan apa yang dilakukan Sarawak itu bernuansa politik, malah tidak sedikit yang mengaitkannya dengan pilihan raya negeri yang dijangkakan menjelang 2021, ternyata apa yang disebut oleh Abang Jo bukan sekadar “politik”.

Ia lebih daripada itu, kerana berdasarkan “road map” yang dilakarkan, Sarawak harus menangani semua isu berkaitan infrastruktur pada tahun 2025, termasuk isu air, bekalan elektrik, internet malah sistem pengangkutan jalan.

Dijangkakan Lebuh Raya Pan Borneo akan siap sepenuhnya pada tempoh tersebut, justeru mungkin masa yang sesuai pula untuk membina sistem aliran transit ringan, dan keretapi rentasan Borneo yang disebutkan sebelum ini.

Namun berdasarkan perancangan Kerajaan Negeri ini, jelaslah ia perancangan yang strategik, dengan harapan bilion ringgit akan memasuki dana perbendaharaan, selepas pengumuman bersejarah dan misteri pada 5 November depan.

Yang pasti, dengan peruntukan yang besar ini, hala tuju Sarawak untuk menjadi negeri maju di Malaysia menjelang 2030, mula menampakkan cahaya yang terang. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru