Monday, August 8, 2022

Kerajaan Negeri peruntuk RM250,000 beli buku penulis Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Para penulis di Sarawak bakal menerima durian runtuh apabila Kerajaan Negeri mengumumkan geran sebanyak RM200,000 untuk pembelian buku-buku terpilih karya mereka.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan keputusan itu ketika merasmikan Malam Gala Sarawak Authors Festival 2018 di sini.

“Geran membeli buku ini tertakluk RM10,000 untuk setiap karya buku.

“Ia bertujuan untuk menggalakkan para penulis menghasilkan karya mereka,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abdul Karim malah menambah peruntukan tersebut kepada RM250,000, yang akan disumbang menerusi Majlis Seni Sarawak.

Pada masa yang sama, katanya, kerajaan turut memperuntuk RM1,000 untuk setiap penulis yang terpilih, bagi meningkatkan kemahiran mereka menyertai pelbagai persidangan dan bengkel.

Difahamkan, geran yang dihidupkan kembali selepas lebih 10 tahun itu, akan dikendalikan oleh jawatankuasa khas dalam Pustaka Negeri Sarawak.

Dalam ucapannya, Abdul Karim turut melahirkan kekagumannya terhadap pencapaian luar biasa penulis Sarawak di peringkat nasional, hingga ada novel yang diangkat ke layar televisyen.

Program seminggu itu berlangsung meriah dengan penganjuran pelbagai aktiviti, antaranya Bicara Penulis, Kursus Penulisan Artikel (Media) dan Bengkel Penulisan Sejarah.

Pada malam ini, turut dilancarkan buku-buku terbitan penulis Sarawak. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru