KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, pihaknya akan memberi keutamaan untuk mempercepat pembangunan di Sabah dan Sarawak.

Sabah dan Sarawak katanya, berpotensi untuk menjana pertumbuhan ekonomi lebih tinggi dengan mengoptimumkan sumber asli yang ada.

“Untuk itu, Kerajaan akan mengagihkan pendapatan minyak dan gas secara saksama mengikut perundangan sedia ada.

“Satu Jawatankuasa Khas Kabinet telah ditubuhkan untuk mengkaji semula dan memantau
pelaksanaan yang wajar bagi Perjanjian Malaysia 1963.

Demi kemakmuran rakyat di Sabah dan Sarawak, tegasnya, infrastruktur
asas seperti bekalan air dan elektrik luar bandar turut akan dipertingkat.

Gambar fail

“Beberapa inisiatif akan dilaksana termasuk meningkatkan liputan jalur lebar di kawasan luar bandar meliputi pembinaan 106 menara telekomunikasi baharu dan menaik taraf 400 menara sedia ada.

Pada masa yang sama, katanya, Kerajaan juga akan menyediakan 7,000 unit rumah mampu milik serta menaik taraf 400 buah sekolah daif.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 di Parlimen sebentar tadi.

Dari segi kemudahan kesihatan, katanya lagi, tiga buah hospital akan dinaik taraf, iaitu di Papar, Miri dan Lawas.

“Menyedari pembangunan tanah adat juga adalah penting untuk mewujudkan aktiviti ekonomi dan menjana pendapatan masyarakat setempat, kerjasama antara kerajaan negeri, agensi berkaitan, pemilik tanah dan pelabur akan dipertingkat.

“Aktiviti pengukuran dan pemetaan Hak Tanah Adat akan dilaksana bagi membolehkan tanah adat dibangunkan,” tambahnya. –Sarawakvoice