Tuesday, August 16, 2022

Peruntukan RM350 juta untuk bina infrastruktur kawalan banjir di Sarawak dalam permohonan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Kementerian Air, Tanah Dan Sumber Asli telah memohon peruntukan sebanyak RM350 juta bagi membina infrastruktur kawalan banjir akibat air pasang bagi kampung tradisi yang terletak di tebingan sungai di Sarawak.

Menterinya, Dr A. Xavier Jayakumar berkata permohonan itu masih berada di peringkat penilaian oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Bagaimanapun, beberapa kawasan telah pun melaksanakan beberapa peringkat kerja, termasuklah rancangan pemilikan koridor sungai di bahagian Betong yang menelan belanja sebanyak RM5 juta, kerja-kerja ini akan dilaksanakan sehingga tahun hadapan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Robert Lawson Chuat (PBB-Betong) yang ingin tahu jumlah peruntukan pembinaan infrastruktur bagi kawalan banjir akibat air pasang di Sarawak.

Menjawab soalan tambahan Chuat sama ada kementerian mempunyai teknologi baharu bagi membina ban tebing sungai yang lebih efektif dari segi ketahanan bagi mengatasi masalah air banjir akibat fenomena air pasang, Jayakumar berkata kementeriannya mempunyai kepakaran berkenaan.

“Kepakaran memang ada, tiada masalah, kita akan guna kepakaran yang ada di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Institut Kemahiran Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) , sekarang kita telah gunakan kepakaran ini dalam beberapa projek baharu kita,” katanya.– BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru