SAN FRANCISCO: Pengasas bersama Microsoft, Paul Allen meninggal dunia pada petang Isnin akibat kanser, lapor agensi berita Xinhua. Pengasas Vulcan Inc. itu berusia 65 tahun.

Menurut kenyataan syarikat, Allen meninggal akibat komplikasi kanser limfoma dan menyifatkan mendiang seorang pakar teknologi, dermawan serta prihatin.

Kakaknya, Jody, menyifatkan mendiang sebagai individu luar biasa.

“Paul Allen juga adalah saudara lelaki, bapa saudara dan kawan paling disayangi,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella berkata, Allen telah membuat sumbangan besar terhadap Microsoft dan industri teknologi.

Pada 1975, Allen menubuhkan Microsoft dengan rakan ketika zaman kanak-kanaknya Bill Gates.

Gates, yang juga pengerusi bersama Yayasan Bill dan Melinda Gates, turut bersedih dengan kematian Allen.

“Sejak awal kami bersama-sama di Sekolah Lakeside (di Seattle), dan berkongsi menubuhkan Microsoft, beliau adalah rakan dan sahabat sejati. Pengkomputeran peribadi tidak akan wujud tanpanya,” kata Gates dalam satu kenyataan.

Allen mengasaskan Vulcan pada pertengahan tahun 80-an untuk melabur di beberapa syarikat media dan komunikasi.

Mendiang juga pernah terlibat dengan projek amal dan merupakan pemilik kelab pasukan sukan profesional Amerika Syarikat seperti Seahawks dan Portland Trail Blazers.

Dinamakan antara orang terkaya di dunia, mendiang menduduki tempat ke-44 senarai jutawan Forbes 2018 dengan anggaran nilai bersih aset lebih US$20 bilion.–BERNAMA