Monday, August 8, 2022

Masing harap Kajian Separuh Penggal RMK11 esok tidak nafi, abaikan kemudahan asas Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Usah abaikan kemudahan asas negeri Sarawak.

Itu harapan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Baleh, Tan Sri Dr James Jemut Masing sempena pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), esok.

Berkata kepada portal Awani.com, Masing mahukan peruntukan infrastruktur asas seperti pembinaan jalan raya, jambatan dan bekalan air bersih diteruskan sekiranya Kerajaan Persekutuan serius membangunkan kawasan luar bandar Sarawak.

“Malah, peruntukan bagi kajian tanah-tanah adat wajar diteruskan,” katanya.

Menurutnya, penilaian pada hal-hal melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 juga perlu diselesaikan dengan semua pihak berkepentingan (Semenanjung, Sarawak dan Sabah) perlu terlibat secara langsung dalam perbincangan.

Menyentuh tentang harapan rakyat luar bandar, beliau berkata,
polisi Pakatan Harapan selepas ini juga perlu mesra kepada sektor komoditi bagi membolehkan harga setimpal untuk pasaran getah, lada dan kelapa sawit.

“Jika semua perkara ini mampu dilaksanakan, saya yakin kawasan luar bandar di Sarawak termasuk di Baleh akan mendapat manfaatnya,” katanya.

Masing juga mahu pembayaran tambahan dan insentif diberikan bagi menggalakkan golongan profesional termasuk doktor dan guru untuk terus berkhidmat di luar bandar. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru