Monday, November 28, 2022

Dua Ah Long belasah peminjam hingga lembik direman tiga hari di Bintulu

Secara Rawak

BINTULU: Polis Bintulu mencekup dua Ah Long semalam selepas mereka bertindak ganas membelasah seorang peminjam akibat salah faham mengenai tuntutan hutang pada Jumaat lalu.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mustafa Kamal Gani berkata, kedua-dua mereka ditangkap selepas menyerah diri di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu petang semalam.

“Kedua-dua suspek yang berusia 24 dan 25 tahun itu merupakan pekerja salah sebuah syarikat pemberi pinjaman wang berlesen di daerah ini.

Terdahulu, mangsa yang berusia 28 tahun, yang juga Pembantu Am Rendah di sebuah jabatan kerajaan di sini telah melakukan pinjaman berjumlah RM3,800 di syarikat tersebut di Jalan Abang Galau, di sini.

“Berlaku salah faham di antara mangsa dan dua suspek pada jam 9.20 pagi Jumaat lalu, yang mengakibatkan mangsa dibelasah.

Akibat dibelasah, mangsa menjadi lembik dan mengalami kecederaan bengkak atas dahi kanan selain lebam bawah mata kanan, bahagian mulut dan bahagian muka.

Susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa kemudiannya, suspek telah diminta untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu untuk membantu siasatan.

“Pada pagi ini, Penolong Majistret Bintulu, Salina Sahrom telah meluluskan permohonan reman selama tiga hari ke atas kedua-dua suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

“Siasatan dilakukan kerana kesalahan gangguan atau ugutan dan lain-lain kepada peminjam yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Permohonan reman dilakukan oleh Sarjan Ahmad Zharif Nelson manakala kedua-dua suspek diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru