Tuesday, September 27, 2022

Polis Sarawak serbu sarang dadah di Stungkor Baru, rampas tiga senapang, tahan tujuh suspek

Secara Rawak

LUNDU: Polis Sarawak semalam bukan sahaja menemui dadah, malah tiga laras senjata api dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Stungkor Baru dekat sini.

Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, serbuan dilakukan anak-anak buahnya sekitar jam 12.30 tengah hari setelah mengesahkan maklumat risikan.

“Kita kemudian telah menahan tujuh lelaki tempatan yang berada di ruang tamu dan di dalam bilik tidur kerana disyaki terlibat dengan dalam penyalahgunaan dadah.

Hasil pemeriksaan lanjut kemudiannya, polis telah menjumpai satu beg sandang berwarna coklat jenama ‘JB STAR’ di atas lantai yang di dalamnya terdapat satu tiub straw berwarna hijau, berisi ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan berat kasar 0.11gram.

“Pemeriksaan di bilik tidur pula menemui dua paket plastik lut sinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 10.60gram.

Kata Sahar, turut ditemui bekas plastik yang mengandungi timah, disyaki peluru senapang angin, dua butir belerang, dua kelongsong peluru dan sebutir peluru hidup.

Polis tambahnya, turut menjumpai selaras senapang patah buatan sendiri dan satu bekas plastik berisi timah disyaki peluru yang diletakkan di tepi dinding dan atas lantai.

“Di bilik tidur suspek pula, pasukan serbuan menjumpai dua lagi senapang angin manakala bekas plastik yang mengandungi dua butir peluru belerang dan kelongsong peluru hidup ditemui di dalam setor.

Kata Sahar, kes kini disiasat mengikut Seksyen 8(a),8(b) dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Semakan awal kata Sahar, mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Permohonan reman terhadap semua suspek yang berusia antara 21 hingga 68 tahun telah dibuat untuk membantu proses siasatan. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru