Monday, August 8, 2022

Masa depan Sarawak tidak lagi bergantung kepada minyak, gas dan pertanian, sebaliknya menumpu sektor hiliran dan teknologi digital – Abang Jo

Secara Rawak

SIBU: Sarawak tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada sektor minyak dan gas, serta komoditi pertanian untuk meningkatkan pertumbuhan ekonominya.

Ketua Menteri Sarawak berkata, kedua-dua sektor tersebut tertakluk kepada turun naik dalam pasaran global dan ini agak berisiko.

Sebaliknya kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Sarawak perlu menambah nilai produknya dengan mewujudkan lebih banyak aktiviti hiliran untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.

“Ketika ini ekonomi Sarawak berkembang pada kadar 4.7 peratus pada 2017, dan mendapat manfaat daripada pengukuhan ekonomi global.

“Malah jumlah perdagangan negeri ini meningkat kepada RM137.6 bilion berikutan jumlah dan nilai eksport yang berkembang pesat, selari peningkatan ekonomi di bahagian lain di dunia.

Gambar fail

Manakala Keluaran Dalam Negeri Kasar perkapita Sarawak pula berjumlah RM49,327 atau kira-kira USD12,000 pada nilai semasa.

Pada tahun ini katanya, ekonomi Sarawak diyakini akan terus berkembang kepada 4.0 hingga 4.5 peratus.

“Harga komoditi yang lebih tinggi dijangka menyokong pertumbuhan eksport kita.

“Walau bagaimanapun, terdapat risiko penguncupan yang dicipta oleh perang perdagangan di antara China dan Amerika Syarikat, yang mungkin memberi impak kepada perdagangan negara, namun kita berharap yang terbaik.

Untuk terus maju dan membangun jelasnya, Sarawak perlu berubah dan menjayakan Ekonomi Digital kerana teknologi akan menjadi asas pertumbuhan ekonomi masa depan Sarawak dan dunia.

“Kita perlu merangkul perubahan teknologi untuk bersaing dan mewujudkan lebih banyak nilai ekonomi kepada produk dan perkhidmatan.

“Justeru, sudah tiba masanya untuk kita beralih seluruhnya dari konvensional kepada ekonomi yang berasaskan kepada digitalisasi dalam banyak bidang,” jelasnya lagi. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru