Lagi mengenai KWSP, pada bulan September tahun lalu, ketika saya merangka bajet untuk tahun 2018, saya ada meminta KWSP untuk menambahbaik kaedah mereka membayar dividen dengan mengikut skala dan bukan satu kadar untuk semua akaun-akaun.

Saya meminta mereka membayar kadar dividen yang lebih tinggi kepada akaun-akaun yang bakinya rendah dan menurunkan kadar dividen untuk akaun-akaun yang bakinya yang tinggi.

Fikiran saya ialah kaedah sekarang tidak adil kerana matlamat utama KWSP ialah untuk menentukan setiap rakyat terutama rakyat berpendapatan rendah, ada wang simpanan yang cukup bukan untuk membuat yang sudah kaya lebih kaya lagi.

Dengan kaedah ini, rakyat yang baki akaun KWSP mereka rendah akan menikmati dividen yang lebih tinggi dan simpanan mereka akan naik dengan lebih cepat.

Pada masa itu, KWSP menjawab saya bahawa ini boleh dilakukan tetapi ianya agak rumit dan memerlukan masa kerana kaedah perlu dikaji dan akta KWSP perlu dibentang dan digubal di parlimen.

Oleh itu, KWSP dan saya tidak sempat untuk membuat perubahan ini.

Saya harap kerajaan PH dapat mempertimbang langkah memanfaatkan rakyat ini untuk KWSP, jika ia boleh dilaksanakan.

Pada masa itu, saya juga meminta PNB untuk membuat kaedah yang sama. Oleh kerana akta untuk PNB ada kelonggaran sedia-ada untuk mengumumkan dividen khas, PNB dapat melakukan ini dengan senang tanpa memerlukan akta digubal di parlimen.

Oleh itu sebagai permulaan, PNB sempat untuk memberi dividen bonus khas 1sen seunit untuk tahun 2017 bagi mereka yang mempunyai baki 10,000 unit ASB dan ke bawah.