Tuesday, September 27, 2022

Catatan aktivis MyCARE: Palu “tanah terangkat” dalam ring of fire, 19 kali dirempuh tsunami

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Salah seorang sukarelawan MyCARE, Aiman Khairul Azzam dalam misi badan kebajikan antarabangsa itu di Kota Palu, Sulawesi dalam status di Facebook pada Sabtu mencoret tulisan bertajuk “Jangan Berlaku Tidak Adil!” menyentuh tragedi menimpa masyarakat wilayah malang itu.

Aiman dalam misi pada hari ketujuh itu berkongsi pandangan beliau tatkala membaca tulisan dan video dari beberapa pihak cuba membawa “naratif berat sebelah” berkaitan bencana gempa dan tsunami ini.

Aiman memberi contoh, misalnya ada pihak menulis: “Semoga kita tidak dihancurkan seperti mereka”, “Jangan sampai kita diazab seperti mereka dengan penganjuran Oktoberfest”

Aiman menyifatkan lagi menyedihkan “kita ke tempat bencana seperti ‘menggunakan’ mangsa ini demi kepentingan kita sendiri.”

Menurut Aiman, masyarakat juga menyalahkan upacara nomoni dan aktiviti maksiat di sini.

Bagaimanpun, menurutnya, ramai juga tahu ada banyak lagi aspek lain yang menyumbang kepada kesan bencana ini bertambah parah.

Menurut Aiman, semasa beliau dan kumpulannya mengikuti kuliah subuh di penempatan kem mereka di Masjid Jami Kampung Baru dan Khutbah Jumaat di Donggala, para ustaz dikatakan membawa naratif muhasabah dalam kehidupan penduduk, dan bukan naratif negatif.

Bahkan, menurut Aiman mereka juga turut “termotivasi” mendengar khutbah disampaikan.

“Sifirnya sama, jika banjir melanda Kelantan dan kita kata itu bala Allah kerana maksiat di Kelantan adakah (ia) sesuai?” tanya Aiman.

“Saya yakin orang Kelantan akan marah dan akan kata, dah kami memang berada di kawasan rendah dan kebarangkalian banjir itu tinggi,” tambah Aiman.

Aiman dalam status tersebut turut meminta, mereka yang hendak datang ke Palu agar membaca sejarah gempa dan tsunami yang pernah melanda kawasan berkenaan.

Ujar Aiman lagi: “Kita semua tahu Indonesia ini ‘supermarket bencana’ (ini terma yg dipakai secara berseloroh oleh orang tempatan).

“Juga terdedah kepada pelbagai bencana alam seperti gempa, tsunami, gunung berapi dan sebagainya. Lokasinya juga berada di Ring of Fire (Lingkaran Api Pasifik),” katanya.

Aiman menulis fakta bahawa lebih 81 peratus gempa bumi terbesar di dunia berlaku di sepanjang lingkaran ini dan Indonesia berada di jalur gempa teraktif di dunia kerana terletak di atas tiga plat tektonik iaitu Indo-Australia di selatan, Eurasia di utara dan Pasifik di timur.

Dari segi sejarah menurut Aiman, Palu dilanda tsunami 18 kali sejak 1800 dan ini merupakan kali ke-19 ia dilanda fenomena pembunuh dari laut itu.

Bahkan, menurut Aiman nama “Palu” berasal dari “topalu’e” yang bermaksud “tanah yg terangkat”.

Dalam rumusannya, Aiman berkata, kawasan Indonesia sememangnya kawasan terdedah dengan bencana, tetapi berharap penduduknya perlu bersiap siaga menghadapi bencana dan mengurangkan kesan apabila berlaku bencana pada masa depan.

Menurutnya, aspek pendidikan, kefahaman dan teknikal dalam mendepani bencana amat penting dan Aiman berkata, perlu kita belajar dari Jepun bagaimana menyediakan sistem siapsiagaan menghadapi bencana.

“Saya membaca komen seperti ‘padan muka’, terimalah laknat Allah atas perbuatan kamu (dll) di ruangan komen rakan-rakan di Malaysia amat meruntun jiwa,” tambah Aiman dan berharap golongan berilmu lebih cermat memandu masyarakat.

Aiman meminta masyarakat mengasihani warga Palu yang kehilangan sanak-saudara, rumah, kawan sekelip mata dan tidak mahu ucapan “negatif” memungkinkan orang lain tidak mahu membantu mangsa tragedi.

“Orang di sini yang saya temui seperti Ibu Eli di Donggala Selatan, Nenek Muna di Desa Wani serta adik Hidayat yang hancur rumahnya serta kematian sahabatnya di Balaroa.

“Berlaku adillah. Didiklah masyarakat dengan kefahaman yang benar, al-haq dan holistik duniawi dan ukhrawi,” ujar Aiman dan mengakhiri ceratannya dengan “pandangan dari kaca mata seorang sukarelawan di lapangan yang masih belajar.” –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru