Monday, August 8, 2022

Abang Johari: Kami tidak tuli dan bisu kepada masalah penduduk luar bandar

Secara Rawak

SIBU: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini memberi jaminan Sarawak akan meneruskan semua projek pembangunan di luar bandar yang sebelum ini dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan yang baharu.

“Sarawak masih dapat menangani situasi ini kerana kita mempunyai kedudukan kewangan yang cukup kuat,’ katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Jadi Ke – 82 Yang di-Pertua Negeri Sarawak di sini hari ini.

Menurutnya, bajet tahunan negeri sentiasa memberatkan luar bandar kerana kerajaan perlu menyediakan infrastruktur dan kemudahan kepada rakyat kita di kawasan itu untuk membolehkan mereka menikmati kehidupan yang selesa seperti penduduk lain yang menghuni kawasan bandar.

Selepas bertahun-tahun katanya, Sarawak masih mempunyai kawasan-kawasan di mana rakyat masih tidak mempunyai akses kepada bekalan air bersih dan bekalan elektrik 24 jam.

“Walaupun ada kawasan berhampiran Kuching, namun tidak mempunyai paip air manakala di kawasan di Belaga di mana terletaknya empangan Hidro Bakun, penduduknya tidak mempunyai bekalan elektrik daripada grid walaupun begitu dekat.

Gambar fail

“Kami tidak tuli dan bisu kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan luar bandar.

“Jika saya mempunyai cara, saya ingin melihat segala-galanya dilaksanakan dalam semalaman atau esok, tetapi realitinya, ada prosedur, peraturan dan proses yang mesti dipatuhi sebelum sesuatu projek dapat dimulakan.

Tegasnya, ketika mengumumkan 247 projek bekalan air bernilai RM2.8 bilion di seluruh negeri, beliau bukan sahaja membuat pengumuman.

“Tetapi kakitangan di Jabatan Bekalan Air Luar Bandar atau JBALB sedang menjalankan tugas mereka untuk memastikan semua projek ini selesai dalam tempoh dua tahun.

JBALB katanya, telah berjaya memperbaiki masalah bekalan di kawasan seperti Dalat, Asajaya, Kabong dan Sungai Asap.

“Saya juga telah mengumumkan beratus-ratus juta projek jalan dan jambatan di seluruh negeri untuk memudahkan perjalanan dan meningkatkan hubungan di kawasan luar bandar.

“Kami sedang membina jambatan di Marudi untuk membuat perjalanan dari Miri ke Marudi lebih mudah; jambatan di Long Lama hampir selesai; jambatan di Kota Samarahan telah selesai memendekkan masa perjalanan dan jarak di antara Kuching dan Asajaya manakala Jambatan Bako sudah siap.

Pekan Song dan Kapit katanya lagi, kini dihubungkan, tetapi Kanowit dan Song masih belum sepenuhnya dikaitkan.

“Sudah ada jambatan di Batang Balleh di Kapit sementara jambatan Kuala Kemena di Bintulu akan bermula tidak lama lagi manakala Jalan Belaga-Menjawah sedang menjalani pembaikan.

“Ini adalah antara projek infrastruktur yang sedang dan akan dilaksanakan untuk faedah rakyat kita di kawasan luar bandar ketika ini,” jelasnya lagi. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru