SERIAN: Lima sekeluarga berhadapan detik cemas apabila kediaman mereka di Kampung Rilih Mawang di dimasuki tiga penyamun bersenjata awal pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar 4.10 pagi itu, pasangan suami isteri serta tiga anaknya sedang tidur sebelum dikejutkan dengan kehadiran tiga suspek berkenaan yang bersenjata parang.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandi Anis berkata, kesemua mangsa diikat menggunakan wayar, penyidai baju dan tuala.

Bimbang akan keselamatan mereka, keluarga malang itu hanya berdiam diri dan tidak melawan.

“Suspek telah mengikat tangan mangsa sekeluarga menggunakan kabel wayar, besi penyidai baju dan kain tuala mandi.

“Suspek telah melarikan sebuah kereta Myvi berwarna jingga, dompet mengandungi wang tunai RM400, kad pengenalan, lesen memandu serta kad bank,” katanya.

Turut dilarikan empat telefon bimbit dan dua tabung syiling milik keluarga mangsa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata, dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Petang tadi, kenderaan Perodua Myvi milik mangsa kemudian telah ditemui di ladang sawit di Jalan Tebedu. –Sarawakvoice