KUCHING: Setakat ini, Kerajaan Sarawak belum menerima bayaran balik cukai pelancongan yang dikutip daripada pelancong asing.

Justeru, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak berharap kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) membayar balik cukai pelancongan tersebut yang dikutip tahun lalu kepada negeri ini seperti dijanjikan.

Bercakap selepas Majlis Penyerahan Penajaan Regata Sarawak 2018 di Baitulmakmur, Karim berkata cukai tersebut dimanfaat untuk membangunkan sektor pelancongan negeri ini.

Di bawah kerajaan lama Barisan Nasional (BN), diumumkan sebelum ini bayaran balik cukai pelancongan daripada RM1 kepada RM5 bagi setiap RM10 dikutip daripada pelancong asing kepada setiap kerajaan negeri.

Sementara, berkaitan Bajet 2019, Karim berharap Sarawak kali ini turut menerima jumlah peruntukan sama rata dengan negeri lain walaupun kini bergelar pembangkang di peringkat Persekutuan.

“Sektor pelancongan Sarawak memiliki potensi sangat luas, namun masih memerlukan banyak bantuan daripada kerajaan Persekutuan dalam usaha mempromosi negeri,” ujar Karim memetik laporan dari Bernama.

Karim juga berharap sektor pelancongan Sarawak diberi perhatian oleh kerajaan Persekutuan pada Pembentangan Bajet 2019 November depan. –Sarawakvoice