Setelah berfikir panjang dan mendengar pandangan daripada pelbagai pihak, demi
masa depan Labuan dan kesejahteraan rakyat Labuan maka saya hari ini
mengumumkan keputusan untuk menyertai Parti Warisan Sabah walaupun secara
peribadi sebenarnya saya tidak ada masaalah malah sudah enjoy menjadi Ahli
Parlimen Pembangkang.

Perubahan besar kepada lanskap politik negara selepas PRU14 memberi peluang
kepada Labuan untuk memperbaiki sistem pentadbiran pada peringkat struktur yang
akan membolehkan ia keluar dari situasi sekarang di mana ianya ditadbir dari jauh di
Putrajaya dan kekuatannya sebagai sebahagian dari Pulau Borneo itu sudah
berkurang. Pendeknya WP Labuan memerlukan empowerment yang cukup luas bagi
membolehkan ia bergerak lebih pantas dan rapat dengan jiran berdekatan.

Hubungan dengan Sabah harus lebih rapat dan jitu. Maka adalah wajar untuk
pembaharuan ini bermula dengan Ahli Parlimen Labuan datang dari sebuah parti
yang berpusat di Sabah. Saya percaya langkah ini akan menjadi lembaran baru ke
arah hubungan di antara Labuan dan Sabah yang lebih intim dan produktif yang akan
membawa faedah kepada kedua-duanya.

Industri Minyak dan Gas merupakan pemacu dan peneraju ekonomi Labuan yang
utama di mana Labuan cuma memain peranan sebagai hab logistik (up & middle
stream) dan pusat pengeluaran Methanol. Minyak dan gas itu sendiri adalah dari
Kawasan Wilayah Sabah.

Sektor Pelancongan yang sudah mula membangun di
Labuan juga memerlukan bantuan besar dari Sabah yang sudah jauh di hadapan dan
Kota Kinabalu adalah pintu masuk utama. Banyak penyelarasan perlu
dipertingkatkan dan ini akan dapat dibuat dengan lebih berkesan apabila hubungan
kerajaan negeri Sabah dan Labuan lebih rapat.

Sememangnya sebelum ini pun saya sudah melakukan pelbagai inisiatif bagi
merapatkan semula hubungan di antara Perbadanan Labuan, sebagai kerajaan
tempatan di Labuan, dan Kerajaan Sabah.

Contohnya, sebaik saja dipilih sebagai Ahli Parlimen pada tahun 2013, saya telah mengetuai satu delegasi dari Perbadanan Labuan dan kepimpinan politik Labuan melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah ketika itu di Sri Gaya untuk menyatakan hasrat saya untuk mengadakan kerjasama yang lebih erat dalam semua aspek antara kedua-dua
wilayah terutama dalam penyelarasan seperti pembangunan infrastruktur dan sosio-
ekonomi di mana pembangunan Labuan hendaklah berharmoni dengan
pembangunan Negeri Sabah.

Saya juga pernah mencadangkan pengujudan Koridor Teluk Brunei di mana Labuan boleh menjadi pusat perbandaran bagi daerah-daerah di Pedalaman dan selatan Sabah dalam usaha memajukan Labuan dan daerah-daerah berkenaan. Usaha-usaha ini adalah selaras dengan aspirasi penyerahan Labuan kepada Kerajaan Pusat di mana kemajuan Labuan haruslah memberi keuntungan dan kesejahteraan kepada rakyat dan Negeri Sabah.

Saya juga ingin bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin Sabah (dan Sarawak)
dalam memperjuangkan hak-hak yang telah sedia termaktub dalam Perjanjian
Malaysia 1963 yang perlu dikembalikan kepada kedua-dua wilayah ini. Alhamdulillah,
Perdana Menteri YAB Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan komitmen beliau
ke arah merealisasikan hasrat itu. Saya turut gembira dengan kenyataan Ketua
Menteri Sabah YAB Datuk Seri Panglima Shafie Apdal kepada saya di mana beliau
memberi jaminan bahawa kedua-dua Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sabah
perlu memberi perhatian yang secukupnya kepada Labuan.

Saya berpendapat satu fasa baru dalam hubungan politik, ekonomi dan pentadbiran
yang lebih erat di antara Labuan dan Kerajaan Negeri Sabah harus diujudkan. Ini
juga diinginkan oleh pucuk pimpinan Parti Warisan Sabah yang mana calonnya
hampir memenangi kerusi Labuan pada PRU14 baru-baru ini. Kini, dengan
penyertaan saya dalam parti yang sama, hasrat ini menjadi realiti

Keadaan ekonomi semasa dan kedudukan Labuan dalam Malaysia yang unik
berbanding dengan kawasan-kawasan parlimen yang lain memerlukan saya
membuat keputusan ini. Saya perlu memenuhi harapan rakyat yang rata-ratanya
terkesan dengan kejatuhan industri Minyak dan Gas di Labuan. Masyarakat Labuan
adalah sebuah komuniti yang rapat di antara satu sama lain (close-knitted society).

Sebagai Ahli Parlimen, mereka memerlukan khidmat saya untuk membantu mereka
dengan segera dan tanpa membuang masa agar ekonominya akan dapat
berkembang semula. Saya juga mahu memastikan penggal kedua saya ini cukup
produktif dan bermanfaat untuk penduduk Labuan.

Saya amat yakin, berdasarkan nasihat, pandangan dan saranan yang saya terima
daripada begitu ramai pihak yang membantu saya selama ini dan daripada mereka
yang mengundi saya pada PRU yang lalu mahupun daripada rakan-rakan daripada
Parti Warisan Sabah dan Pakatan Harapan di Labuan, keputusan saya ini adalah
tepat dan sesuatu yang diharapkan oleh majoriti rakyat Labuan.

Ia perlu dibuat demi kepentingan Labuan dan dalam mendepani cabaran ekonomi ketika ini di mana ramai yang kehilangan pekerjaan, menutup perniagaan dan ada yang terpaksa melelong harta-benda mereka mahupun meninggalkan Labuan untuk mencari masa depan
yang lebih terjamin.

Dengan platform baru ini, saya juga yakin saya akan dapat menjadi ketua yang lebih efektif khususnya dalam mengemudi dan bekerjasama dengan jentera pentadbiran Kerajaan, membawa pelaburan-pelaburan baru masuk ke Labuan dan meneruskan pelan agenda pembangunan yang menguntungkan rakyat.

Untuk Labuan keluar dari kemelut ekonomi dan situasi runcing sebegini, semua pihak
di Labuan mesti bersatupadu dengan semangat ‘solidarity’ yang teguh tanpa mengira
fahaman politik masing-masing. Sebagai wakil rakyat, saya perlu bersama-sama
dengan Kerajaan yang sediaada dan berada di platform yang betul untuk memastikan
Labuan dan Sabah bersatu dalam satu nada politik yang sama bagi memajukan
kedua-dua wilayah ini dengan lebih pesat.

Walaupun saya pada dasarnya bersetuju supaya Labuan terus kekal sebagai sebuah
Wilayah Persekutuan, ia harus diberikan kuasa pentadbiran dan membuat keputusan
yang lebih fleksibel dan luas supaya ia dapat mencapai potensinya seperti yang
diharapkan ketika pemimpin-pemimpin sebelum ini memutuskan untuk
menjadikannya sebagai sebuah Wilayah Persekutuan.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Sabah yang masih mengharapkan Labuan menjadi lebih maju dan dapat menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat Sabah yang berada di Labuan selain limpahan ekonomi yang lain perlu juga memainkan peranan
yang lebih proaktif untuk memastikan Labuan menjadi pusat pembangunan serantau.

Oleh yang demikian, saya ingin menyarankan di sini perlunya ada suara wakil
daripada Labuan di dalam Dewan Undangan Negeri Sabah dengan perlantikan
ADUN yang dilantik dari Labuan seperti yang pernah diadakan sebelum ini.

Pada ketika ini, proses membuat keputusan memakan masa yang terlalu lama dan
adakalanya suara rakyat kurang diberikan perhatian dan ini sangat merugikan
Labuan yang memerlukan banyak pelaburan berskala besar daripada pihak Kerajaan
dan swasta. Sebab itulah sebelum ini pun saya selalu berkata dalam banyak forum
termasuk di Dewan Rakyat dengan saranan bahawa “pentadbiran Labuan
memerlukan ‘structural change’”.

Labuan rancak dibangunkan dalam 25 tahun pertama sebagai Wilayah Persekutuan
disebabkan banyak pembangunan infrastruktur yang perlu dibuat pada ketika itu di
samping keperluan untuk mencapai visinya sebagai sebuah Pulau Taman yang
cantik dan bersih. Alhamdulllah, banyak pembangunan infrastruktur berjaya
dilaksanakan dan kini kita memerlukan satu gelombang baru pembangunan yang
akan melengkapkan dan seterusnya menghidupkan Growth Engine apabila structural
change dalam kuasa pentadbiran dimulakan.

Saya yakin Perdana Menteri YAB Tun Dr Mahathir Mohamad yang
bertanggungjawab menerima penyerahan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan dan
merubah Labuan dengan pembangunan pesat ketika beliau menjadi Perdana
Menteri yang keempat akan mengambil peluang untuk memastikan Labuan
meningkat maju ke tahap yang baru seperti yang telah digariskan dalam Labuan
Development Blueprint 2030 yang saya bersama-sama pasukan daripada
Perbadanan Labuan siapkan baru-baru ini.

Mengenai politik negara, saya bukanlah seorang yang mudah gelisah. Saya yakin
Allah SWT mempunyai perancangan yang terbaik untuk negara kita ini untuk
jangkamasa yang panjang. Alhamdulillah, kita telahpun dapat mengecapi nikmat
pembangunan dan keamanan yang berpanjangan diiringi dengan pelbagai ranjau
dan cabaran di sepanjang perjalanan.

Sistem demokrasi berparlimen kita masih muda dan belum matang dan tidak
hairanlah kita masih bergelut untuk mencari formula yang terbaik. Walau-
bagaimanapun, kita berpeluang dan terarah untuk menuju kepada sistem dua parti
seperti yang diamalkan di banyak negara maju yang pastinya akan mematangkan
sistem politik kita.

Pada tahap ini, perpindahan parti oleh pemimpin-pemimpin politik dan pertukaran sekutu diantara parti-parti adalah sebahagian dari proses itu.

Akhirnya kedua-dua belah yang berlawanan dalam sistem dua parti itu tidak akan
mempunyai perbezaan yang ekstrem sebab sudah mempunyai DNA dari campuran
yang sama. Rakyat Malaysia pada ketika itu tidak perlu lagi takut kepada pertukaran
kerajaan yang boleh berlaku tanpa membawa perubahan mendadak kepada negara
yang sudah matang dan kukuh.

Akhir kata, saya berdoa dan berharap agar rakyat Labuan menerima dengan
sepenuh hati dan memberi sokongan padu terhadap keputusan saya ini agar Labuan
akan terus maju dan aman.

Kenyataan akhbar dari Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli, Ahli Dewan Rakyat Parlimen Malaysia P166 Labuan.