BINTULU: Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (Ouna) menganugerahi “Naga Emas” kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Rabu.

Sementara, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima anugerah “Harimau Emas” yang diterima Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sebagai wakil.

Anugerah tersebut disampaikan Presiden Ouna Datuk Abu Bakar Abdullah pada majlis “Jasamu Dikenang” berlangsung di hotel di Bintulu.

Anugerah lain yang turut disampaikan ialah anugerah “Kulleh Emas” kepada Datuk Seri Tiong King Sing, “Tebun” kepada mendiang Senator Datuk Sri Temenggong Oyung Lawai Jau.

Tiga lagi anugerah iaitu “Tebengang” kepada mendiang Datuk Sri Nyipa Bato, mendiang Datuk Sri Joseph Balan Seling dan Datu Abang Mohd Shibli Abang Nailie.

Taib dalam ucapan pada majlis tersebut berkata, masyarakat Orang Ulu harus memastikan warisan budaya mereka diterapkan kepada generasi muda.

Taib berkata, Ouna ditubuhkan 52 tahun lalu banyak membantu masyarakat Orang Ulu berkembang seiring perkembangan dunia.

Beliau menyifatkan Ouna memainkan peranan penting mentransformasi masyarakat minoriti itu di negeri ini.

Sementara, Awang Tengah dalam ucapannya berkata Taib sebagai perintis pemodenan dan pembangunan Sarawak semasa menjadi ketua menteri, memberi manfaat kepada rakyat termasuk masyarakat Orang Ulu berjaya dalam bidang pendidikan tinggi. –Sarawakvoice