PETALING JAYA: Jumlah hartanah kediaman yang dilancarkan pada julat harga RM500,000 dan ke bawah mengalami peningkatan kepada 65 peratus daripada pelancaran keseluruhan pada separuh pertama 2018 berbanding 52 peratus pada separuh kedua 2017.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Soam Heng Choon berkata Kajian Industri Hartanah Rehda Separuh Pertama 2018, melibatkan penyertaan 152 anggota Rehda dari semenanjung Malaysia, juga mendapati jumlah keseluruhan unit kediaman yang dilancarkan semasa tempoh yang dikaji telah berkurangan sebanyak 12 peratus.

“Bagaimanapun, prestasi jualan meningkat 6.0 peratus, dengan 6,764 unit direkodkan telah terjual,” katanya semasa taklimat media mengenai hasil dapatan kajian berkenaan di sini, Rabu

Rumah teres dua tingkat mendahului senarai jualan dengan 2,858 unit dijual, kebanyakannya terletak di Sepang dan Shah Alam, diikuti pangsapuri/kondominium (2,047 unit) terutamanya di Cheras dan Segambut.

Kajian itu juga mendapati bagi kebanyakan negeri, harga jualan yang paling banyak dilancarkan adalah dalam julat RM100,001 hingga RM500,000, kecuali di Kuala Lumpur dan Selangor iaitu pada julat RM500,001 hingga RM700,000.

Heng Choon berkata, peratusan responden yang dilaporkan mempunyai komponen perumahan mampu milik dalam pembangunan mereka meningkat kepada 47 peratus berbanding 41 peratus pada separuh kedua 2017 dan 37 peratus pada separuh pertama tahun yang sama.

“Tiga syor paling utama oleh responden untuk menggalakkan pembekalan perumahan mampu milik adalah pengurangan caj pembangunan, bayaran premium untuk pertukaran status tanah yang lebih rendah dan pengecualian sumbangan modal,” katanya

Bagaimanapun, peratusan responden dengan unit tidak terjual meningkat kepada 75 peratus daripada 66 peratus pada separuh kedua 2017, kebanyakannya mempunyai sehingga 30 peratus bekalan rumah tidak terjual.

Sebahagian besar unit tidak terjual itu dilihat ditawarkan secara setara pada julat harga RM250,001 hingga RM500,000 (terutama bagi kawasan Kuantan dan Alor Setar), RM500,001 hingga RM700,000 (kebanyakannya di Johor Bahru dan Shah Alam) dan RM700,001 hingga RM1 juta (terutama Johor Bahru dan Puchong).

“Unit kediaman bagi pembiayaan akhir dan unit bumiputera tidak terjual kekal sebagai dua isu utama bagi unit yang tidak terjual. Responden yang mengalami masalah pembiayaan akhir meningkat kepada 89 peratus pada separuh pertama 2018 dan 39 peratus permohonan pinjaman ditolak bagi hartanah berharga RM500,000 dan ke bawah.

“Faktor penyumbang kepada masalah pembiayaan termasuk margin pembiayaan yang ditawarkan rendah, ketidaklayakan disebabkan pendapatan pembeli dan latar belakang kredit yang buruk,” katanya.

Mengenai prospek, Heng Choon berkata hampir separuh responden merancang untuk melaksanakan pelancaran pada separuh kedua tahun ini, dan 15,852 unit yang akan dilancarkan itu akan terdiri 8,991 unit strata, 6,433 unit bertanah dan 428 unit komersial.

Bagaimanapun, beliau berkata, dua pertiga daripada responden menjangkakan prestasi jualan mereka pada 50 peratus dan ke bawah.

“Kebanyakan responden memberi pandangan neutral bagi unjuran ekonomi dan perniagaan selain unjuran industri hartanah tahun ini, bagaimanapun, mereka yakin dengan pasaran pada 2019,” katanya.- BERNAMA