PUTRAJAYA: Sebuah portal akan diwujudkan menerusi kerjasama antara Bank Dunia dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi meninjau pendapat umum dan menjadi alat untuk memantau serta menilai dengan lebih baik peraturan-peraturan kualiti berasaskan bukti, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Peningkatan rundingan dengan masyarakat umum dan rakyat, yang meliputi seluruh lingkaran peraturan itu, memberi jangkauan lebih luas dalam kalangan pihak-pihak berkepentingan dan yang terlibat, dan akan meningkatkan lagi ketelusan, keterangkuman serta keyakinan kepada kerajaan dalam proses penggubalan peraturan,” katanya pada Konvensyen Kebangsaan Mengenai Amalan Baik Peraturan-peraturan Pengawalseliaan (GRP) 2018 di sini hari ini.

Beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan satu sistem yang kukuh, bertanggungjawab dan telus merupakan asas penting untuk melestarikan sesebuah ekonomi yang dinamik dan mapan dalam menghadapi keadaan pasaran yang pantas berubah.

Seperti yang telah dijanjikan dalam Buku Harapan, yang mengandungi menifesto Pakatan Harapan, Dr Wan Azizah berkata MPC dan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) akan diberi lebih banyak kuasa dan peruntukan untuk menjalankan kajian yang komprehensif mengenai beban pengawalseliaan yang dihadapi oleh industri.

Sambil menegaskan bahawa Malaysia masih bersikap mesra perniagaan walaupun kerajaan yang telah memerintah selama lebih 60 tahun sebelum ini telah bertukar, Dr Wan Azizah berkata beliau telah menyampaikan perkara itu kepada Indonesia semasa lawatan sehari beliau ke republik itu pada Selasa.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata kerajaan Malaysia akan terus memberi fokus kepada langkah mereformasi struktur ekonomi negara agar produktiviti Malaysia meningkat.

“Dalam hubungan ini, kami (Malaysia) perlu memastikan kerangka dasar persaingan adalah berdaya tahan menerusi pentadbiran infrastruktur pengawalseliaan yang berkesan,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Wan Azizah turut melancarkan Buku Laporan Mengenai Pemodenan Peraturan-Peraturan 2018,  buku laporan kedua yang diterbitkan setiap dua tahun sekali sejak 2016 untuk memaklumkan kepada pihak-pihak yang berkepentingan mengenai kemajuan dan penambahbaikan dalam pelaksanaan GRP.

Bertemakan ‘Peraturan Lebih Baik, Meningkatkan Produktiviti’, konvensyen sehari itu telah menarik penyertaan 1,500 peserta termasuk daripada kalangan industri perdagangan, pegawai kerajaan dan perwakilan asing.