Tuesday, September 27, 2022

Perlukan R&D untuk bangunkan jenama durian Sarawak

Secara Rawak

BETONG: Lebih banyak usaha Penyelidikan dan Pembangunan I(R&D) perlu dijalankan bagi membangunkan durian spesies tempatan sebagai durian Sarawak, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata menurut stastistik Jabatan Pertanian Sarawak sebanyak 300,000 biji durian dari spesies tempatan dihasilkan di negeri ini.

“Kita mempunyai terlalu banyak spesies durian yang berpotensi sebagai durian Sarawak. Kita masih menjalankan R &D terhadap spesies durian berkenaan,” katanya kepada pemberita di Sapaoh di sini semalam.

Sementara itu, Uggah berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM2.5 juta untuk tujuan mengusahakan ladang durian Musang King di kawasan Parlimen Betong yang meliputi kerusi dewan undangan negeri Bukit Saban, Krian dan Layar.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah dan Pembangunan Wilayah berkata dalam tempoh lima hingga enam tahun dari sekarang, mungkin terdapat hasil durian Musang Raja yang banyak dari daerah Betong.

“Sasarannya adalah untuk menanam kira-kira 50,000 pokok di mana untuk permulaan kira-kira 1,000 benih telah diedarkan kepada petani di kawasan Paku dan Beduru.

“Setiap keluarga akan diberikan lima anak benih dan jika dijaga dengan baik pokok matang boleh menghasilkan kira-kira 200 buah setiap musim, “katanya.

Beliau berkata Jabatan Pertanian juga akan menganjurkan kursus untuk memulihkan pokok durian lama yang masih membuahkan hasil di Stesen Pertanian Layar Disember ini.

Katanya pada masa ini belum ada budaya penyelenggaraan pokok durian di kalangan penduduk luar bandar. Amalan yang dilakukan ialah dengan membiarkan pokok itu tumbuh sendiri dan mengutip hasil ketika tiba musim buah.–BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru