Tuesday, August 16, 2022

Demi pulihkan hak S’wak, Sabah, Ahli Parlimen GPS sedia teliti, sokong pindaan MA63 — Fadillah

Secara Rawak

KUCHING: Kesinambungan ucapan Perdana Menteri 16 September lepas, kerajaan sedia meminda Perkara 1(2) memulihkan status Sarawak dan Sabah kepada 1976 seperti sebelum pindaan dibuat.

Ini bermakna, Sarawak dan Sabah mendapat semula status mereka seperti yang termaktub di bawah Perkara 4 Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang) Datuk Liew Vui Keong pada majlis makan malam di Kuching berkata, pindaan tersebut dibentangkan di Parlimen minggu depan, 15 Oktober.

Hadir sama pada majlis makan malam tersebut ialah Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam pada itu Liew ditemui selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Mahkamah Kuching berkata, pihaknya akan membentang penubuhan Jawatankuasa Khas MA63 ke kabinet minggu ini serta perancangan fungsi jawatankuasa tersebut kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Hanya selepas itu, kita mengumumkan senarai anggota jawatankuasa yang telah dipilih,” ujar Liew.

Liew turut berkata, Jabatan Peguam Negara dalam proses akhir melakukan draf pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk dibentang di Parlimen yang memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen.

Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) pada Pilhan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berjanji dalam manifestonya menubuhkan Jawatankuasa Kabinet bagi mengembalikan kuasa MA63 yang terhakis kepada Sarawak dan Sabah.

Sementara, Mahathir pada 16 September lepas mengumum mahu memulihkan status wilayah Sarawak dan Sabah sebagai rakan kongsi sama rata dengan Semenanjung.

Liew dalam kenyataannya berharap pindaan tersebut mendapat sokongan semua Ahli Parlimen berkepentingan, sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Sementara, Fadillah selaku Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam kenyataannya semasa ditemui pemberita pada majlis makan malam tersebut berkata, pindaan dicadangkan itu memerlukan sokongan dua pertiga ahli parlimen.

Menurut Fadillah, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sudah menyatakan secara dasar, apa-apa yang baik untuk Sarawak dan Sabah serta Malaysia keseluruhannya, ia perlu disokong khususnya berkaitan pengembalian hak yang terhakis dalam MA63.

Bagi Fadillah, untuk menyokong perkara yang hendak dibawa ke Parlimen itu, mereka perlu melihat secara detil pindaan yang dicadangkan itu untuk dibincang dengan Kerajaan Negeri dan ahli Parlimen GPS. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru