Monday, August 15, 2022

Generasi muda Sarawak minat pertanian pintar — Dr Sabariah

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Negeri yakin, semakin ramai generasi muda akan terlibat dalam aktiviti pertanian.

“Ini kerana pertanian moden dan pintar hari ini lebih mudah, cekap, berkualiti dan menguntungkan.

“Ia juga berasaskan teknologi; teknologi yang mudah dikuasai, terpulang kepada kita untuk memanipulasinya,” kata Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan), Datu Dr Sabariah Putit.

Menurutnya, dengan perkembangan teknologi ini, generasi muda, termasuk mereka yang daripada latar belakang profesional seperti jurutera akan turut berminat menyertai sektor ini.

Dr Sabariah berkata, sektor pertanian menjanjikan pulangan yang menguntungkan, kerana permintaan yang tinggi.

“Kita masih banyak mengimport sayur-sayuran dari luar.

“Kita mengimport sekitar RM3 bilion sedangkan eksport hanyalah sekitar RM1 bilion.

“Malah kita gagal memenuhi permintaan oleh pasaran eksport, kerana tidak mampu mengeluarkan kuantiti yang diperlukan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rampangi di Santubong.

Di sana beliau menerima taklimat akan penggunaan teknologi, atau internet of things diaplikasi dalam aktiviti pertanian.

Dr Sabariah pernah menjadi penyelidik di pusat tersebut sekitar 1988.

Sarawak mempunyai sembilan TKPM, namun hanya empat yang aktif.

Di TKPM Rampangi, tumpuan diberikan kepada penghasilan cili, yang mempunyai kadar pasaran yang lumayan.

Sebanyak 16.8 tan cili dihasilkan pada sepanjang sembilan pertama tahun ini, manakala tanaman lain 6.2 tan.

Manakala di TKPM Kabuloh, Miri, para petani berjaya menghasilkan lebih 1 tan pisang, setiap hari.

Dalam taklimat tersebut, Timbalan Pengarah Pertanian Sarawak, Ngab Dollah Salam berkata, petani moden yang aktif boleh memperoleh pendapatan di antara RM20,000 hingga RM60,000 sebulan. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru