Monday, August 8, 2022

Sarawak sasar tangani sepenuhnya rabies menjelang 2021 — Uggah

Secara Rawak

KUCHING: Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyasarkan wabak rabies dapat ditangani sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun.

Menurutnya,, bagi menjayakan usaha tersebut, beberapa keputusan baharu diputuskan semalam, termasuk mengarahkan Majlis Keselamatan Negara untuk meneruskan perbincangan bersama-sama rakan setugas mereka di Indonesia.

“Ia sebegai meneruskan rundingan yang telah wujud ketika wabak ini mula dikesan, dan dalam dialog lalu, beberapa perjanjian telah ditandatangani.

“Kita mahu isu anjing rentas sempadan ditangani agar isu rabies ini dapat ditangani bersama,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, semalam.

Selain Sarawak, beberapa kawasan di Kalimantan turut berhadapan isu yang sama, dan difahamkan ia berlaku lebih awal.

“Sekarang kita minta kerjasama ini diteruskan dan pasukan terlibat bertemu semula untuk mengkaji keputusan yang telah dicapai sebelum ini.

Katanya, jawatankuasa turut bersetuju dengan cadangan Prosedur Operasi Standard berhubung usaha mengekang wabak ini di sepanjang garis sempadan negara, seperti yang dicadangkan oleh pihak tentera dan Pasukan Gerakan Am.

“Pada masa yang sama, semua kerajaan dan majlis tempatan juga diarahkan untuk menguatkuasakan undang-undang kecil mereka termasuk melesenkan anjing dan menasihatkan pemilik anjing untuk memastikan haiwan peliharaan mereka berada di dalam premis kediaman.

“Semua Majlis Tempatan dinasihatkan untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemilik anjing yang tidak bertanggungjawab dan ini temasuklah mengenakan denda, seperti yang termaktub dalam akta.

Bagi mengawal penularan ke kawasan lain pula, semua Residen dan agensi yang berkaitan, termasuk polis juga diarahkan untuk mengadakan sekatan jalan untuk menghalang pergerakan anjing keluar dari kawasan yang diisytihar kawasan wabak.

“Sekatan ini akan bermula pada 6 Oktober depan. Di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, adalah menjadi kesalahan untuk mengalihkan anjing dari kawasan jangkitan rabies ke kawasan lain di negeri ini.

“Denda sebanyak RM5,000 boleh dikenakan dan penjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sarawak kini telah mengisytiharkan 41 kawasan di negeri ini dari Sematan ke Miri, sebagai kawasan rabies, setelah sampel yang diperolehi positif jangkitan itu.

“Kita juga akan terus mengawal aktiviti anjing liar dan menasihatkan pemilik anjing peliharaan memastikan haiwan mereka sentiasa berada di dalam premis.

“Untuk arahan vaksinasi antirabies, saya telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk meluaskan kawasan program untuk turut melibatkan kawasan luar bandar.

“Masalah yang dihadapi sekarang ialah kekurangan kakitangan, dan untuk menanganinya, kita mempertimbang untuk menyumberluarkan usaha ini kepada pihak swasta.

Tegasnya, menjadi objektif jawatankuasa itu untuk memastikan 70 peratus daripada populasi anjing di negeri ini divaksinasi.

“Ketika ini kita telah menyuntik lebih 85,000 anjing, dan ini menghampiri 50 peratus daripada anggaran kasar 300,000 populasi anjing di negeri ini.

“Pada masa yang sama, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak juga akan membuka Klinik Gigitan Anjing di Sibu, Kapit dan Hospital Miri, untuk memudahkan orang ramai mendapatkan rawatan,” tambahnya lagi. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru