Friday, August 19, 2022

Ingat pesan Tun Jugah, jangan Malaysia jadi “manis di pun, tabar di ujung” — Surat Pena Raut bhg III

Secara Rawak

Pena Raut dalam surat kepada editor “Do we want PH Rule in Sarawak?” disiarkan portal New Sarawak Tribune pada Selasa mendakwa — Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mendorong serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Sarwak dan Sabah untuk menuntut autonomi dan kawalan lebih besar terhadap sumber alam dimiliki mereka.

Menurut penulis, seruan dan permintaan agar dikembalikan semula hak negeri ini yang diperuntukkan menurut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bergema di dataran, gunung dan lautan.

Oleh itu Kerajaan Persekutuan dilihat perlu melonggarkan “cengkamannya”, tetapi “bukan pengaruhnya” ke atas kedua-dua wilayah ini.

Mengulas pengumuman Mahathir di Kota Kinabalu, penulis mendakwa walaupun kawalan secara “terang” dan “terbuka” mungkin tidak lagi boleh dilaksanakan — perkara yang boleh dilakukan ialah mengawal kedua-dua negeri melalui dewan perundangan atau legislatif.

Justeru, ada keperluan menurut penulis PH berkembang ke Sarawak dan Sabah melalui cawangan parti diwakili ahli politik tempatan yang dikawal oleh Kuala Lumpur.

Penulis menyebut menjelang 2021 Sarawak mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 dan beliau bertanya siapakah yang akan diundi oleh rakyat Sarawak?

Mungkin sesetengah pengundi cenderung untuk mengundi parti gabungan PH?

Pakatan Harapan dengan Mahathir sendiri dikatakan akan “turun padang” berkempen dan mereka akan datang sekali lagi membawa janji pilihan raya.

Dikatakan, ada yang akan berkempen bahawa mengundi untuk PH adalah mengundi untuk kerajaan yang kuat dan stabil sebagai prasyarat untuk pembangunan.

Bagaimanapun, penulis mengulas bahawa “kita telah melihat masa depan gabungan PH banyak dapat dipersoalkan”.

Tanya Pena Raut lagi, sejauh mana rakyat Sarawak dapat mengharapkan wakil PH yang dipilih untuk bekerja demi kepentingan Sarawak dan rakyatnya?

Sementara, penulis mendakwa wakil PH di Sarawak setakat ini sudah menunjukkan “warna” sebenar mereka yang pro-KL, contohnya bagaimana wakil Dap mengulangi pendirian Kuala Lumpur untuk hanya memberi 20 peratus keuntungan Petronas kepada Sarawak dan bukannya royalti 20 peratus.

Penulis mengulas lagi, dalam isu penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan, perwakilan PH mengulangi pandangan Menteri Pendidikan bahawa isu itu menentang perlembagaan dan semangat Malaysia serta Akta Bahasa Kebangsaan.

Justeru, menurut Pena Raut perjuangan menuntut hak Sarawak hanya boleh dipertanggungjawabkan kepada wakil rakyat yang benar-benar mewakili kepentingan Sarawak.

Menurut beliau, mantan ketua menteri Allahyarham Pehin Seri Adenan Satem atau “Tok Nan” memulakan isu pemulihan penuh MA63 untuk kepentingan negeri ini.

Azizul (kiri), Abdul Aziz (kanan) dengan ayahanda mereka Allahyarham Tan Sti Adenan Satem

Penulis turut mengungkit isu ekstremisme agama dan perkauman yang tidak perlu dipanjangkan di negeri ini termasuk “cash is king” yang dikatakan mencambahkan rasuah dan nepotisme.

Penulis mendakwa kini di bawah Gabungan Parti Sarawak dipimpin Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, hak, tradisi dan nilai setiap kumpulan di negeri ini dihormati sesuai budaya di sini — hidup harmoni, saling memahami dan bekerjasama.

Pena Raut menutup suratnya dengan mengajak rakyat Sarawak mengundi “orang” yang benar-benar dapat menjaga Sarawak menjelang pengundian PRN12 pada 2021.

“Marilah kita sentiasa dibimbing oleh kebijaksanaan Tun Jugah; janganlah Malaysia menjadi “manis di pun, tabar di ujung” – manis pada mulanya dan hambar pada akhirnya,” tulisnya.

“Marilah kita tidak terbawa-bawa dengan janji dari orang yang tidak menganggap kita sama (dengan mereka).” –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru