BELAGA: Projek bina semula laluan Menjawah-Belaga sejauh 34 kilometer akan bermula pada bulan hadapan, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, sejumlah RM86 juta telah diluluskan untuk tujuan tersebut dan surat pelantikan kontraktor telah dikeluarkan pada 27 Ogos lalu.

“Mesyuarat prapembinaan pula telah diadakan pada 19 September lalu, dan kontraktor telah mula membawa masuk jentera bagi membaiki laluan yang rosak, sebelum pembinaan semula yang sebenar dilaksanakan,” katanya ketika merasmikan Regata Belaga 2018 semalam.

Teks ucapan Abang Johari dibacakan Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Persekutuan Negeri dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, yang mewakilinya pada majlis itu.

Sebelum ini, laluan berkenaan dirintis dan dibina menerusi projek Jiwa Murni Angkatan Tentera Malaysia, yang berjaya menjimatkan separuh daripada kos asal.

Namun setelah siap, ia berhadapan kerosakan terutama selepas dilalui kenderaan berat, selain bencana alam.

Pada majlis yang sama, Abang Johari turut memaklumkan Loji Air Sungai Koyan yang berharga RM65 juta telah siap di penempatan Sungai Asap dan kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan untuk memasang salur paip terus ke kediaman penggunanya.

Turur hadir pada majlis tersebut Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Adun Murum, Chukpai Ugon. –Sarawakvoice