Friday, October 7, 2022

Syarikat bioteknologi Malaysia boleh kesan kanser 30 tahun lebih awal

Secara Rawak

BENTONG: Berita baik untuk pesakit kanser. Sebuah syarikat menawarkan penggunaan bioteknologi liquid biopsy yang dipercayai mampu mengesan sel kanser individu sehingga 30 tahun lebih awal.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alps Global Holding Berhad, Profesor Datuk Seri Dr Tham Seng Kong berkata teknologi yang dibangunkan sejak empat tahun lalu itu adalah transformasi petama dalam bidang perubatan seumpamanya yang dibangunkan di negara ini.

Beliau berkata teknologi tersebut mampu mengesan 14 penyakit antaranya Parkinson, Alzheimer, kegagalan jantung dan sembilan jenis kanser.

“Penggunaan bioteknologi liquid biopsy membolehkan sel kanser dalam tubuh seseorang dikesan antara tiga hingga 30 tahun lebih awal, berbanding kaedah sedia ada yang mengesan apabila kanser sudah berada di tahap pertama.

“Apabila pesakit dikesan berpotensi mendapat kanser untuk beberapa tahun akan datang maka mereka boleh memulakan langkah pencegahan dengan mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Dr Tham berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Pelancaran Alps Wellness Centre (First Anti-Aging Centre In Highlands of Asia) dan Alps Medical Clinic Genting Highlands di Genting Highlands, semalam.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir dan turut dihadiri Pengerusi Kumpulan syarikat, Tan Sri Ong Tee Keat.

Dr Tham menambah, permintaan terhadap teknologi baru itu begitu menggalakkan termasuk daripada rakyat China dan Indonesia sekali gus membantu meningkatkan industri pelancongan kesihatan negara ini.

“Kos yang dikenakan bagi rawatan tersebut bermula dari RM800 bagi satu jenis penyakit dan antara RM4,000 dan RM5,000 untuk semua jenis penyakit,” katanya.

Dr Tham menambah, cawangan di Genting Highlands merupakan cawangan kedua selepas Kuala Lumpur, dengan jumlah keseluruhan kakitangan termasuk doktor seramai 60 orang.

Sementara itu, Mohd Anuar berbangga dengan kejayaan syarikat itu yang berjaya menerokai bidang perniagaan kesihatan yang sangat menarik, selain berpotensi meningkatkan kehadiran pelancong kesihatan.  — BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru