KATIBAS: Lebih 200 penghuni Rumah Panjang Dagom Sangai di Nanga Bakut di sini terkejut apabila rumah yang tersergam megah yang mereka tinggalkan pada awal pagi untuk bekerja dan ke pasar, bertukar menjadi abu beberapa jam kemudian.

Difahamkan insiden berlaku sekitar jam 8.20 pagi ketika hanya 10 penghuni berada di rumah panjang berkeluasan 600 x 30 kaki persegi itu.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, pihaknya hanya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 10.21 pagi dan sebuah bot segera diatur gerak ke lokasi pada pagi semalam dengan kekuatan enam anggota dari Balai Song.

“Perjalanan ke lokasi mengambil masa satu jam 40 minit menggunakan laluan sungai, dan setibanya di lokasi, pasukan mendapati rumah panjang 32 pintu berstruktur tidak kekal itu telah musnah sepenuhnya.

“Semua penduduk ketika ini telah berpindah ke penempatan sementara di S.K Lubok Bedil, Song, yang jaraknya dari lokasi rumah panjang mengambil masa 20 minit jalan air.

Punca kebakaran kata Ling Hii, sedang dalam siasatan.

“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Kerja-kerja mengumpul serta mengambil maklumat selesai pada jam 3.10 petang, dan maklumat rasmi mengatakan jumlah penduduk di rumah panjang tersebut adalah sekitar 253 orang’’ tambahnya lagi. –Sarawakvoice