SIBU: Ia hari yang malang bagi seorang warga emas di sini apabila maut selepas kenderaan Perodua Kancil yang dipandunya hilang kawalan dan merempuh sebuah lori tangki di Jalan Paradom, petang semalam.

Pihak bomba menurut Penolong Pengarah Operasi Negerinya, Tiong Ling Hii menerima panggilan kecemasan sekitar jam 5.25 petang dan sebuah jentera, dengan kekuatan lapan anggota segera diatur gerak ke lokasi dari Balai Bintangor.

“Setibanya di lokasi, komander operasi, Mohmad Mahmud melaporkan, insiden melibatkan sebuah Perodua Kancil yang memasuki lorong bersebelahan sebelum bertembung lori tangki yang membawa muatan minyak.

“Impak rempuhan menyebabkan kenderaan Perodua Kancil tersebut berpusing, terhumban dan terbenam ke dalam parit.

“Pemandu kenderaan, seorang warga emas berusia 60 tahun terperangkap di kerusi pemandu, tidak sedarkan diri.

Pemeriksaan lanjut oleh pasukan paramedik yang tiba kemudian katanya, mendapati mangsa
tidak lagi bernyawa.

Ling Hii berkata, pasukan penyelamat kemudian mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan operasi ”hydraulic rescue tools” dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi tamat pada jam 7.01 malam,” katanya lagi. –Sarawakvoice