WASHINGTON D.C: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Washington Dulles hari ini dalam rangka lawatan kerja ke Amerika Syarikat bermula 23 hingga 29 September.

Mohamad dijadualkan bertemu rakan sejawatnya yang juga Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, James Norman Mattis diikuti lawatan kerja ke New York bagi menghadiri Mesyuarat Peringkat Tinggi berhubung Action For Peacekeeping.

Beliau turut mengiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Sesi ke-73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) pada 25 hingga 29 September.

Lawatan kerja Menteri Pertahanan ke Washington DC merupakan susulan pertemuan beliau dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat di Singapura pada Jun lalu.

Tujuan lawatan kerja ini adalah untuk menyambung perbincangan berkaitan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara di samping mengekalkan hubungan dua hala Malaysia – Amerika Syarikat.

Turut lawatan kerja Menteri Pertahanan ialah Panglima Angkatan Tentera , Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin. –Sarawakvoice

YB Menteri Pertahanan bersama delegasi selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Washington Dulles dan disambut oleh Penasihat Pertahanan Malaysia serta wakil dari Amerika Syarikat