Saturday, October 23, 2021

(( Eksklusif )) Sekitar Jalan P. Ramlee Kuching diserang aedes, 8 individu disahkan denggi

Mesti baca

KUCHING: Sekurang-kurangnya lapan individu disahkan menghidap demam denggi yang dikesan di kawasan Jalan P. Ramlee sejak awal September ini.

Menurut sumber, antara mangsanya termasuklah pekerja binaan, kakitangan sebuah klinik dan kakitangan sebuah stesen penyiaran di situ.

Difahamkan, pembiakan nyamuk aedes dipercayai berpunca dari kawasan takungan air ‘rumah tinggal’ di lokasi projek yang sedang dalam pembinaan.

Projek yang dalam pembinaan di kawasan tersebut ialah Kampus Muzium Sarawak dan Hikmah Exchange.

Sumber turut memberitahu, kawasan jangkitan telah merebak sehingga 400 meter radius berbanding sebelum ini yang hanya dalam lingkungan 200 meter radius.

Perkembangan kes tersebut harus dipandang serius bagi memastikan keselamatan masyarakat terus terjamin.

Malah Jabatan Kesihatan Malaysia mempunyai kuasa untuk mengeluarkan notis dan kompaun terhadap kawasan yang dikenal pasti tempat pembiakan aedes.

Oleh itu, orang ramai disaran mengenal pasti tanda-tanda amaran komplikasi yang terdiri daripada empat gejala utama iaitu muntah, sakit perut, berdarah dari mana-mana bahagian badan dan pening selepas baring.

Yang penting, dapatkan rawatan segera di hospital termasuk menjalani ujian darah untuk memastikan tanda amaran komplikasi dapat dikesan.

Orang ramai perlu mengamalkan kaedah perlindungan diri yang bersesuaian dan mengelak daripada berada di luar rumah terutama semasa nyamuk sedang aktif iaitu di antara jam 5.00 hingga 7.00 pagi dan 5.00 hingga 7.00 petang. — Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru