BAU: Lelaki yang hilang di Gunung Singai ditemui selamat sekitar jam 8.10 pagi tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, beliau ditemui di sebelah kanan kaki gunung, tidak jauh dari kediaman penduduk.

“Semalam kita mendapat maklumat bahawa penduduk kampung ada mendengar suara meminta tolong.

“Kemudian kita menghantar pasukan untuk menyiasat dan menemui jejak kaki dan kesan rebung dipatahkan.

Kata Ling Hii, pada pagi ini, tumpuan diberikan kepada usaha mencari mangsa di sekitar kawasan tersebut, sebelum berjaya menemuinya dalam keadaan lemah.

Ketika ditemui, Stanley dalam keadaan kesejukan, hanya berseluar katik, dengan baju dan telefon bimbitnya lesap.

Stanley Kho, 22 tahun, hilang sejak jam 8.00 pagi Isnin lalu, setelah mendaki gunung yang menjadi kawasan riadah popular hujung minggu.

Sejak kehilangannya tersebar, ratusan pendaki terlibat dalam gerakan mencari dan menyelanat, selain penggunaan teknologi seperti dron dan sebagainya.

Sementara itu, menurut mangsa, beliau ada mendengar suara mereka yang mencarinya, namun mulutnya terkunci.

“Saya menemui seorang gadis cantik dalam perjalanan mendaki, dia menghulur sekuntum bunga, dan terus mengikutinya sehingga semalam,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Adun Tasik Biru, Datuk Henry Jinep merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.

“Kita akan membuat penambahbaikan termasuk memasang sistem litar kamera tertutup, dan menambahkan papan tanda kawasan,” tambahnya lagi.

Atas permintaan keluarga, Stanley telah dikejarkan ke pusat rawatan swasta. –Sarawakvoice