Saturday, October 23, 2021

Kisah beberapa lelaki digoda gadis “bunian” di hutan

Mesti baca

INGAT watak Husin bertemu Zaitun di alam bunian dalam kisah “Hantu Kak Limah” sentuhan sutradara Mamat Khalid.

Ternyata ia bukan sekadar kisah yang terdapat dalam filem terbitan Astro Shaw dan Infinitus Gold sahaja… ia mungkin diangkat dari ilham kisah benar dalam kehidupan manusia untuk dijadikan karya fiksyen, mitos…

Stanley Diumpan Bunga Oleh “Gadis Cantik” di Bukit

Dalam peristiwa terbaharu “pelik tapi benar” di sebalik kehilangan Stanley Kho, 22, semenjak beberapa hari lepas, media melaporkan Stanley mendakwa diumpan “si cantik” dari hutan dengan bunga sehingga dia terus mengekori gadis tersebut beberapa hari.

Ini mungkin dianggap “kisah khayalan” oleh segelintir pembaca, tetapi sebahagian lagi timbul banyak persoalan lanjut wujudnya mahkluk halus di sekeliling dunia manusia.

Stanley gagal menemui jalan keluar sedangkan di sekeliling bukit tersebut terdiri daripada perkampungan manusia — sehingga jika keluar di mana-mana pun, laluannya mengarah ke kediaman penduduk.

Stanley mendakwa dia dijaga cukup baik oleh gadis terbabit yang diekorinya itu.

Pengamal paranormal sememangnya percaya Stanley dilitupi dunia bunian.

Sementara, mereka yang “memahami” percaya Stanley bukan sekadar tersesat jalan, bahkan tersesat alam juga.

Warga Emas Diumpan Tiga Gadis Cilik Berbau Wangi di Hutan Oya

Februari tahun lepas, jika pembaca masih ingat, media tempatan termasuk Sarawak Voice memanjangkan kisah warga emas Sidek Baki, 75, tercium bau harum selepas dia memunggah asam paya atau kelubi dari hutan ke hujung jalan.

Sidek mengaku ketika menoleh, dia terlihat tiga gadis berusia dalam lingkungan 8-10 tahun memanggilnya.

Sidek dipujuk dan digoda mahu ditunjukkan tempat yang banyak asam paya, sehingga dia menerima pelawaan tiga gadis kecil itu.

Sidek diberi makan kuih penyaram oleh gadis berkenaan dan sebelum sampai ke lokasi yang dikatakan banyak asam paya, tiba-tiba tiga gadis yang berjalan di hadapannya itu membuka pakaian.

Sidek mengaku menutup matanya dan memarahi gadis tersebut sebagai “kurang ajar”.

Merasa ada yang tidak kena, Sidek membaca al-Fatihah lima kali sehingga ketiga-tiga gadis cilik tersebut hilang dari pandangan

Menurut Sidek ketika itulah baru dia terdengar ada suara orang mencarinya — dari anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela dan penduduk kampung di sebuah hutan terletak 10 kilometer dari kediamannya.

Gadis Bunian Bukit Broga Ajak Azarul Kahwin

Ini pula kisah remaja Mohd Azarul Mukhriz Abd Rahman, 20, yang tersesat di puncak Tok Wan di Bukit Broga di Semenyih pada Januari 2017.

Mohd Azarul, mekanik asal Kedah mendaki Bukit Broga bersama lima rakannya dan disedari hilang pada waktu Maghrib.

Mohd Azarul Mukhriz, 20 , hilang ditemui di puncak Broga, Semenyih selama seminggu Januari 2017 dikatakan cuba digoda gadis bunian di gua.

Sekitar 700 sukarelawan mencari Azarul yang hilang hampir seminggu di Broga, tetapi tidak bertemu padahal tapak kehilangannya terletak tidak jauh dari laluan pejalan kaki

Dalam rancangan Motif Viral, Azarul menceritakan semasa mendaki itu dia terserempak budak perempuan bertudung dalam usia lingkungan 9 tahun — yang membawanya berjumpa ahli keluarganya di sebuah gua.

Azarul berkata sepanjang berada di alam ghaib itu dia duduk di dalam gua dan tidur di atas batu.

Pada hari ketiga Azarul berada di situ, dia diajak kahwin oleh kakak budak perempuan tersebut yang memakai purdah.

Namun, Azarul menolak pelawaan tersebut sehinggalah sampai hari ketujuh, Azarul tetap menolak pelawaan perempuan itu menyebabkan gadis bunian itu marah.

Di sana, Azarul bersolat seperti biasa dan membaca al-Quran saiz besar dan kitab tersebut akan menegur jika terdapat kesalahan bacaan.

Oleh kerana menolak pelawaan gadis tersebut, semasa dia baring, terjatuh ular tedung selar yang boleh bercakap di atas dadanya.

Ular itu memintanya keluar dari situ dengan berjalan mengikut kesan cahaya matahari dan akhirnya Azarul dijumpai.

PU Taha Ulas Bunian Adalah Golongan Jin

Dalam rancangan tersebut, Pencetus Umah (PU) Taha Mohd Omar yang dijemput memberi ulasan berhubungan kisah berkenaan berkata, alam ghaib dunia jin memang wujud.

PU Taha berkata bunian adalah terdiri daripada makhluk jin yang tercipta dari api.

Beliau menceritakan Rasulullah SAW pernah berdakwah dengan golongan jin dan berkata jin juga menganut pelbagai agama termasuk Islam.

Menurut PU Taha, jika Azarul menerima pinangan gadis bunian itu berkahwin, dia akan tinggal di alam ghaib dan tidak dapat dijumpai lagi.

Menurut beliau lagi akad kahwin Azarul dengan gadis Bunian itu menjadi syarat untuk Azarul memasuki sempadan alam bunian yang terletak di sebelah gua itu.

PU Taha berkata, gadis bunian itu meminati Azarul dan biasanya mereka menyasarkan lelaki bujang atau lelaki berkahwin tetapi tiada zuriat.

Beliau menambah Islam tidak mengiktiraf perkahwinan manusia-jin kerana sumber zat kejadian asas kedua-dua makhluk adalah tidak sama. –Sarawakvoice

Tonton video rancangan Motif Viral: Azarul ceritakan kisah dia disorok bunian di Bukit Broga.

Secara Rawak

Artikel Terbaru