Tuesday, August 16, 2022

Tiada lagi prosedur ‘raba-raba’ di KLIA

Secara Rawak

SEPANG: Penumpang penerbangan boleh menarik nafas lega apabila mereka tidak lagi dikenakan pemeriksaan tubuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan mungkin juga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), mulai suku kedua tahun depan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata kelonggaran itu berikutan pemasangan mesin pengimbas x-ray penumpang yang dinaik taraf oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

“Jadi tiada lagi ‘raba-raba’ menjelang separuh kedua tahun depan kerana pegawai keselamatan lapangan terbang tidak lagi perlu melakukan pemeriksaan fizikal ke atas tubuh penumpang,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah pusat pemprosesan untuk pelepasan kru di klia2, di lapangan terbang itu di sini semalam.

Loke berkata kebanyakan orang tidak berasa selesa apabila pemeriksaan dilakukan ke atas tubuh mereka, bagaimanapun, prosedur itu merupakan protokol keselamatan.

“Walaupun seorang menteri, apabila saya melalui mana-mana pintu masuk di sini (di lapangan terbang), saya juga perlu melalui pemeriksaan tubuh. Jadi, akan ada mesin dan kemudahan baharu yang ditempatkan untuk menambah baik perkhidmatan di lapangan terbang,” katanya lagi.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan MAHB Raja Azmi Raja Nazuddin berkata mesin pengimbas x-ray penumpang yang baharu itu disasarkan untuk dipasang pada suku kedua tahun depan.

“Pada masa ini tumpuan adalah KLIA dan MAHB turut menimbangkan untuk menempatkan mesin serupa di klia2. Bagaimanapun, MAHB masih mengkaji butiran serta jumlah mesin yang akan dipasang, dan pengumuman lanjut akan dibuat kemudian,” katanya.

Mengenai pusat pemproses untuk pelepasan kru, Loke berkata kru semua syarikat penerbangan yang beroperasi di klia2 hanya akan mengambil masa 10 minit untuk sampai ke pintu pelepasan dan mereka boleh memintas bangunan terminal apabila pusat pelepasan kru penerbangan siap menjelang 2019. Pusat berkenaan akan dibina oleh MAHB.

Pusat pelepasan berharga RM2.7 juta itu akan dilengkapi tiga kaunter imigresen serta sebuah kaunter kastam dan dikendalikan oleh petugas tambahan daripada agensi berkaitan di samping pegawai keselamatan penerbangan daripada MAHB.

Sementara itu, MAHB dalam kenyataan yang diedarkan pada majlis itu berkata, setakat Ogos 2018, KLIA merekodkan 40 juta penumpang bagi kedua-dua terminal, dengan klia2 merekodkan 21.3 juta penumpang, peningkatan sebanyak 7.8 peratus bagi tempoh sama tahun lepas.– BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru